CALON Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata beliau perlu memenuhi jemputan makan malam yang diadakan di kawasan itu sebelum pengundian Sabtu ini.
Bakal presiden PKR itu juga berkata calon lain juga memenuhi jemputan makan malam sebelum pengundian dan mempersoalkan mengapa beliau tidak dibenarkan.
“Jika masyarakat setempat jemput saya makan malam, apa yang saya patut buat?
“Calon lain juga makan mala, mengapa saya tak boleh?” soalnya kepada wartawan selepas menyampaikan ucapan di persidangan pelaburan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar mengulas kenyataan badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 sebelum ini yang berkata jamuan makan malam percuma untuk 3,000 hingga 4,000 orang yang antara jemputan ialah Anwar tidak berbeza dengan majlis di Pulau Pinang anjuran Low Taek Jho pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Low yang juga dikenali sebagai Jho Low yang jadi orang buruan kini menganjurkan konsert di Pulau Pinang menampilkan ramai selebriti sebelum PRU13 pada Mei 2008.
Masih tidak jelas siapakah pengajur jamuan itu yang bakal diadakan Jumaat ini tetapi Anwar dijempur untuk hadir.
Kebimbangan itu pertama kali dibangkitkan oleh Adun Lukut Choo Ken Hwa yang berkata amalan Pakatan Harapan itu boleh mengubah mereka kepada “Barisan Nasional 2.0 atau Umno 2.0”.
Bersih bersetuju dengan Choo yang jamuan itu adalah amalan tidak sihat dalam pilihan raya dan melanggar akta pilihan raya yang melarang pemberian makanan, minuman, kudapan atau apa sahaja yang boleh “menyogok” pengundi kepada calon tertentu.
Bersih menggesa jamuan itu ditangguhkan selepas PRK berlangsung.
Anwar berdepan pertembungan tujuh penjuru merebut kerusi Port Dickson. Beliau berdepan lima calon Bebas- Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen- dan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar. – 9 Oktober, 2018.
Komen