Pengetua pusat tahfiz Perlis terkait fahaman pengganas tak ditangkap


Zaim Ibrahim

Menurut Ketua Polis Negara Fuzi Harun siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pelajar yang terpengaruh dengan dakyah keganasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2018.

PENGETUA pusat tahfiz di Perlis dikaitkan dengan lapan individu yang ditangkap kerana didakwa menyebarkan fahaman Salafi Jihadi tidak ditahan, kata Ketua Polis Negara Fuzi Harun.

Menurut Fuzi lagi siasatan kes itu masih berjalan.  

“Pengetua tidak ditangkap. Tapi tidak pasti (terlibat dengan kegiatan itu) kerana masih jalankan siasatan,” katanya dalam satu sidang media Seminar Pemantapan Integriti dan Pelancaran Jurnal Integriti di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut berkata, sekolah terbabit tidak ditubuhkan dengan matlamat menyebar ajaran ekstremisme.

“Sekolah dah ditubuhkan awal. Mereka sertai sekolah itu kemudian sebagai tenaga pengajar dan sebarkan (ideologi ekstremisme),” jelasnya.

Tambahnya, siasatan yang sedang berlangsung sekarang juga adalah untuk mengenalpasti kumpulan pelajar yang terpengaruh dengan ajaran tersebut.

Selain itu, Fuzi juga berkata isu keganasan dalam negara masih terkawal hasil langkah proaktif diusahakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ujarnya, setakat tahun ini 63 warga tempatan dan asing telah ditangkap kerana mempunyai kaitan dengan ajaran ekstremisme.

24 September lalu, lapan lelaki termasuk tujuh warga asing dan seorang tempatan terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis di negara ini ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam tiga serbuan serentak dijalankan di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor.

Kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis, sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan menegaskan, pusat tersebut tiada kaitan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kerana ia merupakan pusat tahfiz persendirian. – 9 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen