MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dan memohon untuk pendaftaran tidak semestinya akan terus mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut beliau, ini pihak DBKL perlu memastikan sekolah tersebut menepati spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan.
“Sekiranya kita dapati tempat yang digunapakai itu tak selamat, maka kita mungkin carikan tempat yang lain.
“Bukan (terus) daftar (tapi) dalam erti kata dapat kelulusan supaya masuk dalam senarai, supaya kita tahu kalau ada apa-apa masalah kita tahu lebih awal. Jangan tiba-tiba berlaku (musibah) baru kita tahu yang tahfiz tu wujud,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DBKL hari ini.
Setakat ini, kira-kira 120 sekolah tahfiz yang tidak berdaftar berada dalam senarai DBKL.
Usaha untuk mendaftarkan sekolah-sekolah tersebut dilakukan bersama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Pada akhir bulan lalu, Khalid menafikan DBKL akan menutup pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram di ibu kota.
Kenyataan itu dilakukan selepas beliau mendapat kritikan daripada pelbagai pihak berhubung kenyataan di media yang memetik Khalid sebagai berkata DBKL akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, termasuk pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajar, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.
Suspek berusia 30 tahun itu didakwa meliwat pelajarnya yang berusia 11 hingga 16 tahun dan kemudiannya didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Putrajaya mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – 9 Oktober, 2018.
Komen