PUTRAJAYA mungkin tidak akan mansuh tol di masa depan tetapi sebaliknya akan mencari alternatif untuk mengurangkan beban pengguna jalan raya, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Beliau berkata kementeriannya kini sedang melihat cadangan sepert rebat, penetapan kadar tol untuk beberapa tahun dan pengurangan kadar tol.
Menurut ahli Parlimen Selangau itu, Putrajaya buat masa ini tidak dapat menghapuskan konsesi tol.
“Terdapat implikasi terhadap kerajaan kerana kontrak telah ditandatangani dan anda tidak boleh pinda kontrak kecuali mendapat persetujuan bersama dari penandatangan,” kata Baru pada forum pelaburan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.
Minggu lepas beliau menafikan berkata keputusan kerajaan mengenai pemansuhan tol akan diumumkan dalam dua hingga tiga bulan akan datang.
“Keputusan telah disebut di Parlimen. Kita menangguhkan untuk memansuhkan tol sehinggalah keadaan kewangan (negara) kembali stabil,” jelas beliau ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
“Ia melibatkan kewangan dan bank, dan kita tidak boleh buat pengumuman pada sebelah pihak saja. Pemansuhan ditangguhkan tetapi kita melihat beberapa alternatif. Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan akan membuat keputusan berkenaan apa yang akan dicadangkan kepada Kabinet.” – 9 Oktober, 2018.
Komen