PEJABAT Peguam Negara telah mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjutan ke atas kes dakwaan jenayah terhadap bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah pada 25 September berkata polis sudah menyiapkan siasatan mereka dan satu cadangan siasatan lanjutan telah dikemukakan kepada Pejabar Peguam Negara.
“Kami sedang menjalankan siasatan lanjutan selepas diarahkan oleh pejabat AG (peguam negara),” kata Omar.
Pada masa ini Omar berkata beliau tidak dapat memastikan keberadaan Musa dan berapa ramai yang telah dipanggil untuk soal siasat bagi kes tersebut, sambil menambah beliau baru sahaja menggalas jawatan sebagai ketua polis.
Siasatan terhadap Musa sebelum ini dibuka oleh bekas ketua polis Sabah, Ramli Din.
Yang diPertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa kerana mengugutnya pada malam beliau (Musa) mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.
Musa yang dilarang memasuki istana negeri sebanyak dua kali, kemudiannya mengangkat sumpah selepa Barisan Nasional menang dengan majoriti mudah iaitu 31 kerusi daripada 60 kerusi DUN di Sabah.
Bagaimanapun, jawatan sebagai ketua menteri itu tidak bertahan lama selepas beberapa ahli Parlimen dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (UPKO) dan Umno menyokong sekutu Pakatan Harapan iaitu Parti Warisan Sabah.
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei dan pelantikan Musa dibatalkan menerusi surat yang dihantar kepada pembantunya keesokan harinya.
Pada 16 Mei, Musa ke London untuk mendapatkan rawatan perubatan, menurut peguamnya. Ini selepas polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Musa dikehendaki berhubung beberapa kes.
Musa kembali ke Kota Kinabalu pada 21 Ogos untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sibuga tetapi terus terbang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama untuk mendapat rawatan susula, kata pembantunya. – 9 Oktober, 2018.
Komen