AKTIVIS Orang Asli Mustafa Along akan memfailkan saman balas dan memohon untuk mengenepikan saman oleh satu syarikat tanaman durian atas sekatan jalan dilakukan penduduk ke ladang syarikat itu di Gua Musang.
Katanya beliau akan memberi kenyataan balas ke atas saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semasa perbicaraan pada 18 Oktober dan akan memohon untuk mengenepikan saman terbabit.
Pengerusi NGO Jaringan Kampung Orang Asli itu berkata berkata saman bertarikh 17 September itu dikemukakan syarikat M7 Plantation Sdn Bhd.
“Syarikat Musang King beranggapan saya telah menghasut penduduk Pos Simpor di Gua Musang hingga menyebabkan mereka (mengalami) kerugian.
“Jumlah saman adalah bergantung kepada kerugian iaitu pada bulan Februari hingga Semptember tahun ini dicampur dengan 10% faedah,” kata Mustafa ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Hakim Ahmad Bache dilaporkan menetapkan tarikh tersebut semalam, tanpa kehadiran peguam plaintif Saha Deva Arunasalam.
Selain di Pos Simpor, sekatan juga diadakan oleh masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik di pedalaman Gua Musang. – 9 Oktober, 2018.
Komen