MENTERI Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan syarikat Prasarana Malaysia menyelesaikan pertikaian dengan pembekalnya Scomi Engineering (Scomi) yang menyebabkan perkhidmatan monorel terjejas pada hujung tahun ini.
Beliau berkata pertikaian berpunca daripada kegagalan pihak Scomi menghantar baki tujuh set tren monorel empat gerabak daripada 12 set keseluruhannya.
“Kita akan minta Scomi membentangkan kertas cadangan bagaimana mereka hendak selesaikan isu ini. Sebarang pertikaian antara Prasarana dan Scomi akan dibincangkan untuk capai penyelesaian.
“Pilihan kedua ialah Prasarana pada Januari lepas membuat tender terbuka untuk cari pembekal yang baru, untuk baiki set kereta api ini dan membekalkan set baharu.
“Selepas tender itu ditutup, ada sebuah syarikat asing yang beri tawaran mereka,” katanya kepada pemberita di Depot Monorel di Kuala Lumpur hari ini.
Loke berkata lima set tren empat gerabak sedia ada dihentikan sejak sembilan bulan lalu disebabkan isu keselamatan.
Jumlah keseluruhan projek untuk 12 set tersebut ialah RM494 juta.
“Saya harap kertas Kabinet dapat dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum hujung tahun ini. Lepas keputusan Kabinet, kita akan dapat satu keputusan yang jelas bagaimana memastikan semua set tren yang dihentikan ini dapat diperbaiki dan dikembalikan perkhidmatannya,” katanya.
Setakat ini, monorel hanya bergantung kepada lima set tren dua gerabak yang digunakan untuk menampung pengguna.
Kapasiti pengguna secara purata pada waktu puncak, jam 5 petang hingga 7 petang ialah 120%.
Bagaimanapun, Loke berkata jumlah pengguna semakin menurun setiap tahun di mana pada 2015 sebanyak 71,943, sebanyak 63, 614 (2016), 48,748 (2017) dan tahun ini 37,093 secara purata setiap hari.
“Menjelang pertengahan tahun depan, (saya jangka) lima set tren empat gerabak ini dapat dikembalikan perkhidmatannya. Jadi dapat selesaikan masalah pengguna,” katanya. – 9 Oktober, 2018.
Komen