KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani, yang meletakkan keselamatan makanan sebagai keutamaan, berharap Putrajaya akan memberikan peruntukan secukupnya bagi memenuhi sasaran meningkatkan pengeluaran beras, kata menterinya Salahuddin Ayub.
Beliau berharap kementerian akan mendapat peruntukan seukupnya atau sekurang-kurangnya berjumlah yang sama dengan tahun sebelum ini pada Bajet 2019, yang akan dibentangkan pada 2 November depan.
Bajet kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sektor pertanian menerima RM6.5 bilion.
Peruntukan itu termasuk wang untuk baja, sistem pengairan dan program penanaman semula.
Salahuddin, yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam untuk membincangkan tentang bajet berkata, beliau menyatakan memastikan keselamatan makanan menjadi keutamaan kementeriannya.
Katanya kementerian itu kini berusaha ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL) sehingga 5% dalam tempoh dua atau tiga tahun.
“Tahap sara diri kita dalam pengeluara beras kini pada 70%. Kita perlu mengimport 30% untuk stok. Sasaran 5% boleh dicapai sekiranya kita mempunyai bajet yang mencukupi,” katanya. – 9 Oktober, 2018
Komen