SEORANG setiausaha politik kepada salah seorang timbalan menteri Sabah membuat laporan polis berhubung video viral dua wanita yang menuduhnya dan seorang lagi individu merogol dan mendera mereka.
Raymond Ahuar, seorang pembantu Christina Liew, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Alam Sekitar, dalam laporannya menafikan sebarang salah laku, mengatakan video yang disiarkan di media sosial itu bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.
Ahuar juga merupakan ketua pemuda PKR negeri.
Beliau kini bersaing untuk jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
“Saya tidak menuduh sesiapa, tetapi saya fikir pesaing dalam pemilihan parti harus bermain bersih dan mengelak daripada menggunakan taktik sedemikian untuk memenangi pemilihan.
“Saya meninggalkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasat dan mengenal pasti kedua-dua wanita di belakang video itu dan mereka yang menyebabkan ia menjadi tular,” kata Ahuar, sambil menambah bahawa dia telah membuat laporan di Balai Polis Keningau pada 5 Oktober.
Video 1.25 minit yang memaparkan dua wanita yang mendakwa berwarganegara Indonesia berkata mereka dijemput seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai “Raden” dan Ahuar untuk lawatan satu minggu ke Sabah.
Wanita - yang bernama Lisa dan Wilda - mendakwa bahawa selepas seminggu, mereka tidak dibenarkan kembali dan akan dipukul jika mereka menimbulkan masalah.
Wanita itu mendakwa mereka diancam dengan pistol dan pedang samurai bagi memenuhi permintaan seks lelaki terbabit.
Salah seorang mangsa juga menarik lengan baju untuk menunjukkan tanda akibat besi panas, yang dilakukan penculik mereka.
Ahuar berkata beliau mula mengetahui kewujudan video itu melalui akaun Facebook Terry Yongs. Ia kemudiannya diletakkan di laman blog Sabahkini2.
OCPD Keningau Ahmad Jawilla tidak memberi ulasan ketika dihubungi. Sementara Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah berkata, beliau akan meneliti perkara itu selepas menerima laporan dan akan menyoal siasat kedua-dua wanita tersebut.– 8 Oktober, 2018.
Komen