SATU jawatankuasa khas bagi memerangi jenayah siber yang kian meningkat akan ditubuhkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Jawatankuasa khas itu akan ditubuhkan bagi mencari punca jenayah itu berlaku dan kaedah untuk menyelesaikannya.
Kerjasama itu akan dibentuk akhir bulan ini dan akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.
“Kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi diperlukan supaya mereka menaik taraf sistem dan membantu pihak polis mengesan alamat Protokol Internet (IP) yang digunakan oleh penjenayah siber.
“Institusi kewangan juga harus bersama. Apabila berlaku scam (penipuan) tersebut, sebelum wang itu kehilangan, kita boleh elak daripada perkara itu berlaku jika bertindak pantas,” kata beliau pada sidang media di Bangunan SKMM, hari ini.
Tambah Gobind, rekod pelanggan prabayar yang diragui telah mula disemak semula sejak bulan Mac lalu berikutan terdapat percanggahan butiran pendaftaran oleh SKMM dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket yang menjual maklumat peribadi kepada penjenayah siber.
“Ada kes-kes yang dilaporkan yang mana maklumat peribadi dan nombor telefon orang tertentu dijualkan. Itu merupakan asas kepada jenayah ini,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, berdasarkan rekod JSJK, sehingga 3 Oktober 2018 terdapat 8,313 kes jenayah siber dilaporkan manakala 10,203 kes pada 2017.
Empat penipuan yang paling banyak berlaku dalam negara adalah penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), pinjaman tak wujud, 419 ‘scam’ dan belian online yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. – 8 Oktober, 2018.
Komen