Bedah siasat kedua CEO Cradle Fund akan diteliti ahli patologi bebas


Alfian Z.M. Tahir

Bedah siasat kali kedua CEO Cradle Fund Nazrin Hassan akan menjawab banyak persoalan yang menyelubungi kes tersebut selepas diklasifikasi sebagai kes bunuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Oktober, 2018.

BEDAH siasat kedua ke atas jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan akan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kata polis hari ini.

Autopsi itu akan dijalankan ahli patologi PPUM dengan dihadiri ahli patologi bebas, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata jenazah Nazrin diangkut dengan penuh  hormat sewaktu pengumuman hari ini, ia selari dengan tuntutan balu Nazrin, Samira Muzzafar.

“Semua pihak yang terlibat dalam penggalian semula jenazah itu dijalankan dengan penuh rasa hormat,” kata ketua polis.

Mengenai bedah siasat kedua, beliau berkata prosedur itu akan dilakukan tidak lama lagi tetapi tidak dapat dipastikan jangka waktu ia selesai dan waktu hasil siasatan dapat diumumkan.

Penggalian jenazah bermula pada jam 9 pagi, proses itu memakan masa lebih dari tiga jam sebelum meninggalkan tanah perkuburan Islam Kota Damansara.

Selain polis, beberapa agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga berada di tanah perkuburan.

Nazrin ditemui mati di bilik tidurnya di Mutiara Damansara selepas rumah teres dua tingkat terbakar pada 14 Jun sehari sebelum Hari Raya.

Keluarganya mendakwa bahawa telefon bimbit Nazrin meletup menjadi punca kebakaran. Syarikat Cradle Fund juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan CEOnya mati akibat kecederaan yang disebabkan telefon bimbit yang meletup di sebelah katilnya.

Saudara lelaki Nazrin, Dr Malek Hassan, yang melihat mayat Nazrin selepas bedah siasat pertama, memberitahu The Malaysian Insight bahawa dia melihat luka di bahagian kiri kepala yang terlalu besar dan dalam yang mustahil disebabkan objek tumpul seperti telefon bimbit.

Ekoran pemerhatian itu, di samping polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan, mendorong Dr Malek membuat laporan polis dua minggu lalu mendesak pihak berkuasa untuk menggali semula jenazah Nazrin untuk bedah siasat kedua.

Setakat siasatan dijalankan, polis telah menahan Samirah, seorang eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, bekas suaminya, dua anak lelaki remaja mereka, adik ipar Nazrin dan suaminya untuk siasatan. Semua yang disiasat terdiri daripada ahli keluarga balu.

Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan dengan ikat jamin. – 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen