Pakatan semak semula ECRL, urus niaga kereta api jika menang PRU14


Muzliza Mustafa

PAKATAN Harapan (PH) akan menyemak semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan meneliti urus niaga berkaitan kereta api lain, jika pembangkang menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata timbalan presiden gabungan itu, Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata PH akan mengekalkan pengendali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), membatalkan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta api (RNAA) antara Perbadanan Aset Kereta api )RAC) dan KTMB, mengembalikan aset RAC kepada KTMB untuk memaksimumkan nilai dan membuka tender pemerolehan bagi aset dan perkhidmatan KTMB.

“Kami membincangkan isu itu dan PH bersetuju KTMB yang wujud sejak penjajahan British perlu dikekalkan,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat meja bulat dengan Kesatuan Kereta api Malaysia di Parlimen.

PH bertemu pegawai kesatuan dan menawarkan lima penyelesaian kepada 6,000 kakitangan pengendali kereta api jika pakatan itu berjaya menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Langkah dan keputusan dibuat kerajaan akan menyebabkan KTMB tidak dapat bertahan dan terpaksa ditutup. Ia akan membawa banyak masalah kepada pegawai dan pentadbiran KTMB sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata jaringan kereta api di kebanyakan negara juga tidak menguntungkan tetapi ia perlu untuk kepentingan rakyat.

“Sebelum ini kerajaan dapat membantu dengan menyalurkan dana, tetapi dengan tindakan mengambil aset dan meletakkan di bawah syarikat lain, ia hanya tindakan membunuh KTMB,” katanya.

RAC milik Kementerian Kewangan mengawal semua aset KTMB menjelang Januari 2018 dengan aset seperti saham dan tanah diserahkan pada hujung tahun ini.

Pengkritik berkata langkah itu akan menyaksikan KTMB lebih rugi kerana kos akan meningkat apabila caj operasi dikenakan oleh RAC.

Presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hasan berkata cadangan membiarkan entiti lain menguruskan aset KTMB dibuat jabatan kerajaan.

“Saya juga berharap bila PH mentadbir, staf KTMB boleh diserapkan semula di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya, menambah beliau berharap urus niaga akses jaringan itu akan dibatalkan.

PH menggunakan perbincangan meja bulan untuk bertemu pelbagai pihak berkepentingan di negara ini, menawarkan janji dan urus niaga dalam persediaan menghadapi PRU.

Hasil perbincangan itu mungkin ditambah ke dalam manifestonya yang akan digunakan dalam pertandingan memenangi hati pengundi Malaysia.

Hadir sama dalam perbincangan itu ialah wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen