Zuraida setuju menteri dilarang berkempen waktu pejabat


Zaim Ibrahim

Antara menteri yang turun berkempen di PRK Port Dickson untuk calon PH, Anwar Ibrahim ialah isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail selain Menteri Komunikasi dan Media Gobind Singh Deo dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

TIADA masalah jika menteri tidak dibenarkan untuk berkempen pilihan raya pada waktu pejabat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau bersetuju dengan teguran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada ahli politik yang memegang jawatan kerajaan, termasuk menteri agar tidak terlibat dalam kempen pada waktu tersebut.

“Kita ada pekerja politik yang lain. Ia tidak akan beri kesan (jika menteri tidak dibenarkan berkempen ketika waktu pejabat).

“Jadi orang lain boleh pergi (berkempen menggantikan menteri),” kata ketua Wanita PKR itu kepada pemberita selepas menghadiri satu dialog di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas teguran Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bahawa aktiviti pilihan raya semasa waktu pejabat adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa. 

Beliau juga mengingatkan ahli politik juga tidak perlu menggunakan aset dan kemudahan kerajaan untuk tujuan kempen.

Dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson (PRK PD), beberapa menteri dalam kalangan ahli politik dilihat turut berkempen bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Antara menteri yang turun berkempen adalah isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Media Gobind Singh Deo dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga dijadualkan turun berkempen di Port Dickson malam ini dalam satu majlis. – 8 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen