KERAJAAN bukan di dalam mod berjimat-cermat dan akan berbelanja apabila perlu, kata Lim Guan Eng.
Menteri Kewangan itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba membendung pambaziran yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Kami tak panggil berjimat-cermat tetapi berbelanja secara bijak,” kata Lim pada Forum Trend Mega Khazanah di Kuala Lumpur hari ini.
Putrajaya katanya mahu menggalakkan lebih banyak permohonan tender terbuka bagi perolehan dan projek kerajaan berbanding rundingan secara terus seperti yang diamalkan kerajaan terdahulu sehingga berlaku pembaziran.
“Kami juga kini lebih selektif membuat pelaburan awam,” tambah beliau.
Lim berkata kerajaan telah mengurangkan kos pembinaan projek LRT3 sebanyak 43% (RM31.65 billion kepada RM16.63 billion) dengan mengubah spesifikasi reka bentuk.
“Kami juga mengurangkan RM5.22 bilion daripada RM56.93 bilion bagi kos MRT2.”
Namun, Lim menegaskan kerajaan akan berbelanja “apabila ia membawa kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan”.
Beliau juga berkata kerajaan kini sedang mengkaji semula projek perkongsian awam-swasta (PPP).
“Buat masa ini, 45 daripada 67 projek PPP yang dikaji semula telah diberi lampu hijau untuk diteruskan tetapi dengan syarat ia perlu melalui proses tender terbuka.
“Ini bukan sahaja akan menjana pertumbuhan ekonomi tambahan tetapi meningkatkan kualiti pertumbuhan dan tidak memberi ruang kepada salah guna kewangan yang berleluasa pada masa lepas,” kata Lim.
Sementara itu, Lim berkata asas ekonomi Malaysia masih lagi kukuh. – 8 Oktober, 2018.
Komen