NURUL Izzah Anwar meminta pengundi Port Dickson menolak calon Bebas Saiful Bukhari Azlan yang menjalankan kempen keji kerana terus mengaitkan bapanya, Anwar Ibrahim dengan kes liwat.
Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Anwar berkata kempen itu tidak harus diteruskan dan akan dilawan demi menjaga maruah keluarganya.
Katanya, beliau akan berbincang secara peribadi dengan bapanya untuk menentukan pendekatan yang akan diambil bagi memastikan keluarganya mendapat keadilan.
“Saya memang akan buat perbincangan pada peringkat peribadi sayalah. Kita kena teruskan (lawan) sebab nampak Saiful tidak henti meneruskan fitnah.
“Pada saya kita kena melawan, ini soal maruah. Bila kita tak bersalah kita kena bangkit melawan dan mempertahankan keadilan. Pada saya ini melangkau isu politik,” katanya.
Katanya fitnah oleh Saiful tersebut sangat keji dan keluarganya cukup menderita selama ini.

“Kejahatan sebegini janganlah diteruskan. Saya memang sangat sedih dan ajak semua pengundi pada menolak budaya fitnah,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas Saiful yang membuka mulut mengenai dakwaan kes Liwat II dalam kempen Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang masuk pertengahan kedua.
PKR telahpun mengumumkan untuk menganggap seolah-olah Saiful tidak wujud dalam kempen pilihan raya kecil Port Dickson.
Dalam pertemuan di Kampung Teluk Pelanduk itu, Saiful ditanya seorang penduduk sekiranya kes yang menyebabkan Anwar Ibrahim dipenjara benar-benar berlaku.
“Perkara itu benar-benar berlaku. Kalau tak berlaku, saya tak akan berdiri di sini,” dakwanya ketika berucap kepada beberapa belas orang yang hadir dalam pertemuan di taman perumahan rakyat itu.
__full.jpg)
Sementara itu, saksi yang pernah memberi keterangan di mahkamah kes Liwat II, Najwan Halimi juga berkata isu digunakan Saiful tidak lagi relevan dan bermotif politik.
“Kalau kita lihat kes (liwat) Saiful bukan setakat di Malaysia orang persoalkan tapi peringkat antarabangsa pun penganalisa pemerhati mempersoalkan kes tersebut.
“Ada berlaku banyak kepincangan dalam perbicaraan. Saya sendiri saksi yang terlibat dalam kes fitnah dua ini.
“Untuk Saiful guna modal politik kempen beliau di Port Dickson taktik murahan kerana sepatutnya fikirkan bagaimana membantu rakyat dan mengangkat dasar-dasar yang baik untuk rakyat,” kata calon ketua AMK itu.
Selain Saiful, Anwar berdepan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad, calon PAS Nazari Mokhtar dan tiga lagi calon Bebas.
PRK Port Dickson menjadi pilihan Anwar dalam usaha untuk menyertai Parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri kelapan.
Pengundian bagi pilihan raya kecil Port Dickson ditetapkan pada 13 Oktober. – 8 Oktober, 2018.
Komen