Ahli jawatankuasa pemilihan PKR tak wajar berkempen, kata calon


Looi Sue-Chern

Tindakan itu mencemarkan imej JPP yang sepatutnya telus dan berintegriti, kata calon ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

ADA ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR berkempen untuk calon tertentu pada pemilihan parti yang sedang berlangsung, dakwa calon ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin.

Katanya, ahli JPP tidak wajar berkempen untuk mana-mana calon termasuklah di media sosial.

Tindakan itu mencemarkan imej JPP yang sepatutnya telus dan berintegriti.

“Saya tak akan cakap siapa tetapi ada kecenderungan (antara ahli JPP).

“Katakan JPP macam Suruhanjaya Pilihan Raya. Boleh anda bayangkan kalau pegawai SPR berkempen untuk Anwar Ibrahim untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson?

“Selaku pegawai, anda tak boleh dilihat mempromosi mana-mana calon. JPP perlu ingatkan pegawainya,” kata Dr Afif kepada wartawan pada Konvensyen Eko Pelancongan di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

Jawatankuasa itu sudah jadi tumpuan banyak pihak sejak pemilihan PKR bermula bulan lepas.

Terdapat masalah e-voting di Kedah dan Pulau Pinang, dua negeri terawal memilih pemimpin PKR pusat dan negeri menyebabkan JPP dikecam hebat.

Dr Afif berkata sejak itu, proses pemilihan sudah semakin lancar di negeri lain tetapi masih ada kelemahan sistem yang perlu diteliti.

“Kita menguruskan 850,000 ahli parti yang layak mengundi. Selepas Anwar jadi perdana menteri, keahlian PKR mungkin naik dua kali ganda,” katanya.

 PKR adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang membenarkan semua ahli mengundi secara terus pemimpin pusat dan negeri. Parti lain menggunakan sistem pengundian ikut delegasi. – 8 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen