MAHKAMAH Rayuan pagi ini menolak permohonan difailkan balu CEO Cradle Fund Nazrin Hassan untuk menangguhkan penggalian kuburnya.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mohtarudin Baki, Abdul Karim Abdul Jalil dan Rhodzarian Bujang bagaimanapun mengarahkan penggalian itu dilakukan menurut syarat tertentu yang dituntut Samirah Muzaffar.
“Puan Samirah, selaku isteri arwah Nazrin dipastikan yang hak arwah suaminya dan kesucian kuburnya dihormati semua pihak,” kata peguam Samirah, L S Leonard.
“Beliau meminta penggalian kubur atau bedah siasat kedua arwah suaminya dilakukan dalam ruang lingkup undang-undang.”
Kerja mengali semula kubur bermula di tanah perkuburan Islam Kota Damansara pagi ini susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membolehkan bedah siasat kedua dilakukan.
“Mahkamah meminta semua pihak berbincang dan bersetuju tentang syarat yang boleh diterima untuk proses penggalian semula,” kata Leonard.
Surat peguam Samirah kepada Jabatan Peguam Negara dihantar pada 5 September lalu yang dilihat The Malaysian Insight meminta supaya penggalian itu ditangguh sehingga pendengaran permohonan yang berlaku hari ini selesai.
Kegagalan berbuat demikian, menurut surat tersebut, adalah “satu halangan kepada keadilan”.

Nazrin ditemui mati di bilik tidurnya di rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara yang terbakar pada 14 Julai lalu. Keluarganya sebelum ini mendakwa telefon bimbitnya meletup sehingga menyebabkan kebakaran itu.
Polis bagaimanapun, mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh pada 6 Ogos. Satu laporan polis kemudiannya dibuat abang Nazrin, Dr Malek Hassan memohon kubur digali semula untuk bedah siasat kedua.
Malek yang melihat mayat Nazrin selepas bedah siasat pertama memberitahu The Malaysian Insight yang beliau mengesan kesan luka di tepi kiri kepala yang terlalu besar dan dalam, meragui ia disebabkan objek tumpul seperti telefon bimbit.
Siasatan polis membawa kepada penahanan reman Samirah, seorang eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, bekas suaminya, dua anak lelaki mereka, adik Samirah dan suaminya. Mereka sudah dibebaskan dengan ikat jamin. – 8 Oktober, 2018.
Komen