Ubat makin mahal, 6 juta pesakit beralih ke klinik kerajaan


Asila Jalil

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya berkata peningkatan harga ubat menyebabkan semakin ramai mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2017.

PENINGKATAN harga ubat menyebabkan semakin ramai mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, bukan di klinik swasta lagi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kira-kira enam juta orang mungkin sudah beralih mendapatkan rawatan menerusi klinik kesihatan awam.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak mengenakan peraturan tertentu mengawal harga ubat di klinik swasta.

“Kami tidak ada rancangan untuk mengawal harga ubat kerana ada prosesnya membabitkan banyak peringkat membabitkan pemborong, pembekal dan peniaga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hilmi berkata Kementerian Kesihatan melihat kepada penyelesaian jangka panjang, iaitu pelaksanaan skim insurans kesihatan negara.

“Kabinet meluluskan insurans kesihatan sukarela. Jika ia berjaya, kami akan bergerak ke arah skim insurans kesihatan negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat Kamarudin Jaffar yang berkata 500 klinik ditutup dari 2014 hingga 2016.

Hilmi berkata klinik ditutup atas pelbagai sebab termasuk pengurusan yang tidak cekap dan isu kewangan.

“Rekod dari 2014 hingga 2016 menunjukkan klinik ditutup atas pelbagai alasan; 53.3% berpindah premis; 5.6% isu pengurusan; 2.8% isu ekonomi; dan 5.6% isu infrastruktur,” katanya. – 9 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen