MALAYSIA tidak perlu terlalu mencontohi Indonesia untuk melaksanakan agenda reformasinya, kata tokoh wartawan republik itu, Goenawan Mohamad, walaupun perubahan kerajaan 9 Mei lalu terilham daripada gerakan di Indonesia 20 tahun lampau.
Ini kerana pengalaman dan sejarah dua negara itu tidak sama, kata pengasas majalah Tempo, yang juga ikut terlibat dalam gerakan reformasi di Indonesia yang menjatuhkan Presiden Soeharto pada Mei 1998.
“Sejarahnya berbeza, dari mula (Malaysia dan Indonesia) mungkin tidak boleh sama,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Rumput selalu lebih hijau di laman tetangga,” tambah beliau.
Penyair dan penulis esei itu berada di Kuala Lumpur baru-baru ini atas undangan Galeri Ilham untuk menyampaikan syarahan seni sempena pameran lukisan Latiff Mohidin: Pago-pago (1960-1969).
Goenawan bagaimanapun berkata setidak-tidaknya Malaysia boleh mencontohi usaha pelbagai pihak termasuk wartawan di Indonesia memperjuangkan kebebasan bersuara selepas berakhir Orde Baru.
Kemerdekaan bersuara itu penting, katanya, terutama untuk perdebatan umum dalam masyarakat.
Namun beliau terkilan kemerdekaan media yang Malaysia nikmati selepas pilihan raya umum ke-14 berlaku dalam keadaan media tradisional merosot edaran dan perniagaannya.
.jpg)
“Meskipun ada kemerdekaan tetapi impaknya mungkin tidak besar. Tetapi siapa tahu, selalu kemerdekaan bersuara membantu banyak hal,” katanya.
Selain itu, Goenawan percaya Malaysia boleh juga belajar dari Indonesia bagaimana republik itu tegas melawan rasuah.
“Korupsi di Malaysia besar tetapi tidak seluas di Indonesia,” katanya.
Beliau memberi contoh bagaimana 41 daripada 45 ahli majlis daerah di Malang, Jawa Timur didakwa atas tuduhan rasuah, bulan lalu.
Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Indonesia beberapa hari selepas dibebaskan dari penjara berkata Malaysia perlu belajar dari pengalaman republik itu dua dekad melaksanakan agenda reformasi.
“Harus ada team yang mengkaji atau meneliti pengalaman Indonesia dalam proses itu dari era (presiden) Pak Habibie (BJ Habibie) sampai era Jokowi (Joko Widodo). Apa kekuatannya, apa kelemahannya,” kata Anwar, seperti dipetik CNN Indonesia, Mei lalu.

Bagaimanapun menurut Goenawan, rasa saling mahu mencontohi antara satu lain selalu terjadi kerana banyak pihak di Malaysia dan Indonesia selalu merasakan antara dua negara itu sama.
“Negeri kita ini menarik, kerana sama dan tidak sama. Ada perasaan sama tetapi pada saat sama, berbeza. Dengan Singapura kita tidak ada masalah itu, ya sudah, berbeza saja.
“Tetapi kalau di Indonesia dan Malaysia, kita merasa mengetahui (negara yang satu lagi) tetapi tidak mengetahui sebaliknya,” kata beliau.
Goenawan juga mengingatkan kadang-kadang di Indonesia, ada pihak yang akan menggunakan Malaysia kalau mahu mengkritik negaranya sendiri.
“Sama saja (dengan di Malaysia). Selain rumput lebih hijau, boleh dipakai untuk kempen kritik,” katanya.
Semasa gerakan reformasi di Indonesia yang menjatuhkan Soeharto pada Mei 1998, Goenawan adalah antara beberapa tokoh yang terlibat di belakang tabir dan kemudiannya mengasaskan Parti Amanat Nasional (PAN).
Beliau kemudian keluar parti pada 2014 menjelang pemilihan presiden Indonesia selepas merasakan PAN sudah melencong dari perjuangan asal. Goenawan kini mengendalikan Komunitas Salihara, sebuah pusat seni budaya yang beliau bangunkan di pinggir Jakarta.– 8 Oktober, 2018.
Komen