SELEPAS pemilihan berlaku di lima negeri, 34,892 ahli PKR Kuala Lumpur bakal memilih barisan kepimpinan parti itu menerusi 13 cabang.
Lembah Pantai yang mempunyai jumlah pengundi teramai di Kuala Lumpur sudah mula mengundi sejak jam 10 pagi tadi dan dijangka tamat jam 5 petang hari ini.
Sejak 9 pagi, sejumlah 200 ahli sudah memenuhi perkarangan Pusat Komuniti Eco Park, Lembah Pantai.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat berharap proses mengundi berjalan lancar.
“Saya nampak kehadiran memberangsangkan dan saya harap jumlah pengundian ini akan memeriahkan proses demokrasi pemilihan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Semalam, pada pemilihan di Pahang, Naib Presiden Mohd Rafizi Ramli mendahului Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali.
Rafizi turut menang di Kelantan dan Terengganu Jumaat lalu dalam usahanya merebut jawatan timbalan presiden yang kini disandang Azmin.
Azmin setakat ini hanya menang di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor.
800,000 ahli PKR mengundi dalam pemilihan parti kali ini menggunakan sistem e-voting. – 7 Oktober, 2018.
Komen