Tiada krisis Mahathir & Anwar: Moga itu kebenaran!


Zainal Rashid Ahmad

DR Mahathir Mohamad pada Jumaat membuat pengumuman mengejutkan. Beliau akan turun berkempen di Port Dickson, esok.

Perdana menteri sebelum ini dalam kenyataan awalnya pada 14 September lalu berkata beliau tidak akan turun berkempen kerana biasanya memang beliau tidak berkempen semasa pilihan raya kecil (PRK).

Apabila Dr Mahathir turun berkempen esok, isyarat ialah beliau mahu Anwar menang dengan cemerlang.

Anwar dalam reaksinya berkata kesudian Dr Mahathir turun berkempen itu bukan saja berita baik untuknya tetapi petanda baik bagi rakyat PD.

Kata Anwar, sejak era BN jika ada PRK, Dr Mahathir mengarahkan timbalannya serta pemimpin bawahan lain untuk berkempen.

Turun ke PD semacam isyarat pencerahan Dr Mahathir: Anwar mesti menang besar dan menanti giliran untuk jadi PM.

Secara konsisten sejak Anwar berkempen di PRK Port Dickson, bakal presiden PKR itu berulang kali menyatakan sokongan terbuka kepada pimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Anwar berkata tiada sebarang langkah drastik untuk beliau jadi PM sebaik saja menang PRK nanti.

Pada masa sama, Dr Mahathir ketika berada di United Kingdom dan Amerika Syarikat minggu lalu, memberi isyarat jelas: Proses peralihan kuasa adalah kepada Anwar sebagai PM selepas ini.

Bagi batu api politik, harapan untuk menyemarakkan perselisihan antara dua tokoh utama Pakatan Harapan (PH) ini, kini menemukan jalan buntu.

Krisis Dr Mahathir-Anwar mula dijadikan isu sejak 10 Mei lalu, sebaik saja PH disahkan membentuk kerajaan berikutan menang PRU14.

Banyak spekulasi disebarkan sejak 10 Mei lalu. Tujuan utama untuk memperlihatkan kerajaan PH tidak akan kekal lama. Akan berlaku krisis dalaman yang teruk. Fokusnya – Anwar mahu jadi PM secepat mungkin. Diperkuat lagi dengan warwaran – Dr Mahathir tidak mahu Anwar sebagai bakal PM.

Kononnya, tujuan Dr Mahathir melantik Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri Kabinet, adalah satu titik permulaan konspirasi yang serius. Ia ditafsirkan sebagai langkah terbuka untuk menggagalkan Anwar jadi PM.

Menjelang pemilihan PKR pula, sejak Ogos lalu, keadaan spekulasi krisis ini semakin memuncak. Kem Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menuduh wujudnya usaha Dr Mahathir-Daim Zainudin-Azmin untuk menjatuhkan Anwar.

Malah, Azmin dituduh menjadi alat politik Dr Mahathir. Tuduhan ini menjadi alasan Rafizi bangkit mencabar Azmin merebut kerusi nombor dua PKR.

Agak bingung rakyat jelata dengan senario politik yang sangat berkemelut ini. Dibumbukan lagi dengan kehadiran Umno yang tanpa malu-malu membayangkan krisis Dr Mahathir-Anwar makin hampir ke puncak perpecahan.

Krisis itu akan memecahbelahkan PH. Seterusnya menjadi tiket khas untuk Umno kembali sebagai kerajaan. Umno hanya perlu menanti; sama ada menyertai PKR atau Bersatu sebagai kerajaan apabila PH berpecah.

Orang politik sentiasa berada di atas dalam semua jenis permainan politik yang dianjurkan. Kita rakyat jelata sangat faham realiti itu. Bahawa, politik memang komplikated.

Cuma, dalam keadaan PRU baru saja berlalu, dan PH belum pun enam bulan membentuk kerajaan, rakyat jelata tidak meraikan politiking melampau yang mengganggu fokus untuk negara bergerak ke hadapan.

Jatuhnya BN, rakyat berharap beban utama isu 1MDB akan berakhir. Misteri “penaklukan” pelabur China akan segera dirungkai. Projek-projek mega yang menjadi lingkaran manipulasi berkaitan skandal 1MDB segera dibongkar dan dibatalkan.

Selepas 9 Mei, apabila PH menang PRU14 dan membentuk kerajaan dengan Kabinet yang lengkap, rakyat mahu melihat agenda negara bergerak ke hadapan.

Apatah lagi, dalam keadaan kerajaan PH mewarisi beban hutang dan pelbagai skandal kewangan warisan BN. Kerajaan PH tidak berada dalam suasana yang mudah untuk mentadbir negara selepas berkuasa.

Selain menyelesaikan masalah ekonomi yang getir, serta PH berdepan konflik realiti untuk melaksanakan 50 janji Manifesto, kerajaan PH juga diharapkan kekal fokus ke arah membina semula negara bangsa Malaysia baharu.

Banyak perkara yang menjadi sandaran rakyat jelata supaya aspirasi pembaharuan yang dijanjikan PH dapat dilaksanakan. Rakyat tidak menjangkakan sama sekali keperluan isu politiking dalaman antara parti-parti gabungan PH perlu berpanjangan.

Rakyat bersikap terbuka. Malah, meyakini Kabinet PH walaupun pada awalnya, populariti Kabinetnya agak bergoyang kerana wajah-wajah junior tanpa pengalaman.

Namun, rakyat memilih bersikap toleransi. PH perlu diberikan ruang secukupnya untuk melaksanakan reformasi pentadbiran.

Cuma isu politiking mengaitkan Dr Mahathir dan Anwar menjadikan PH dicurigai. Sebelum PRU14, rakyat diyakinkan bahawa gabungan lima parti PH akan berkhidmat tanpa sebarang politiking dalaman sekiranya BN jatuh. Rakyat diyakinkan, isu politiking sudah diselesaikan sebelum 9 Mei.

Jadi, selepas 10 Mei, PH akan fokus pada usaha merubah negara. Cabaran dalam menjayakan reformasi ini perlukan tindakan pantas dan cekap. Terutama menangani isu-isu rasuah dan ketirisan tinggalan BN. Malah, memulihkan imej Malaysia yang digelar negara kleptokrasi.

Rakyat jadi simpati pada beban yang terpikul di bahu kerajaan PH. Itu punca rakyat menerima hakikat, apabila banyak janji manifesto terpaksa ditangguhkan pelaksanaannya. Rakyat faham – bahawa, negara tidak boleh diubah dalam 100 hari.

Namun, krisis dalaman PH terutama isu pertelagahan senyap antara Dr Mahathir dan Anwar menggugat sedikit keyakinan rakyat. Wujud rasa gusar: Apakah kerajaan PH akan melangkah ke depan atau terbantut dengan krisis kepimpinan?

Kini, di Port Dickson, Anwar mengulangi janjinya, bahawa proses peralihan kuasa akan berjalan dengan sukses. PRK Port Dickson bukan Langkah Kajang yang patut dicurigai. PRK di Negeri Sembilan ini hanya satu langkah progresif untuk membawa Anwar ke Dewan Rakyat bagi melaksanakan reformasi Parlimen.

Dalam kempen PRKnya, Anwar nampak sangat komited mengukuhkan janjinya. Kedudukan Dr Mahathir sebagai PM tidak akan diganggu dengan tindakan politik di luar janji PH. Tiada langkah ke arah perpecahan selepas beliau bergelar ahli Parlimen.

Dr Mahathir pula ketika berada di UK dan AS, berjenaka dengan menghantar isyarat yang jelas. Usia pencennya ialah 95 tahun. Itu tanda tempoh khidmatnya sebagai PM hanya selama dua tahun atau lebih sedikit saja. Satu komitmen tanda Dr Mahathir berpegang pada janji ketika pembentukan PH.

Manakala kem Rafizi sudah tidak lagi menjadikan isu melaga-lagakan Dr Mahathir dan Anwar sebagai agenda meraih undi dalam menentang kem Azmin. Semua orang sedar, kestabilan negara pada masa ini satu keutamaan. Politiking melampau hanya melemahkan imej PH.

Rakyat hanya mahu melihat satu perkara: Kerajaan PH mesti bekerja keras dan bijak untuk menyusun semula negara dalam mengembalikan Malaysia ke landasan mapan ekonomi dan tampan identiti kenegaraannya.

Hutang dan komitmen RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan BN mesti diurus dan ditadbir dengan bijak. Ia tidak boleh selamanya menjadi alasan, memaksa rakyat untuk menerima konflik ekonomi yang berlaku sekarang semuanya kerana isu RM1 trilion. Rakyat tidak akan menerima alasan itu untuk jangka panjang.

Manakala, pembaharuan kenegaraan mesti segera dijalankan. Perubahan undang-undang warisan rejim BN yang menafikan banyak semangat demokrasi dan hak asasi manusia mesti segera diganti.

Politik kronisme yang melemahkan daya saing ekonomi negara juga mesti segera dihapuskan. Wajah-wajah korupsi mesti diseret dan diadili di mahkamah. Nama-nama perosak kemurnian pentadbiran awam dan integriti GLC juga mesti dinyahkan.

Artikel ini hanya peringatan yang mewakili isi hati rakyat jelata. Ahli politik akan selalu berdepan persekitaran politiking parti dan survival kuasa. Malah, kena cekap dan selalu menyusun agenda politik. Itu rakyat faham dan maklum.

Cuma rakyat tidak mahu, politiking dan agenda kuasa menjadi punca ketidaktentuan dan huru-hara yang menjejaskan pembaharuan negara. Rakyat memilih PH kerana janji melakukan perubahan demi pembaharuan.

Cuma, politiking melampau ialah ancaman utama agenda reformasi. PH akan jadi lebih teruk daripada BN – kalau politik merebut kuasa tidak berkesudahan! – 7 Oktober, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen