SETIAP kali ada yang mahu tahu umurnya, Sister Dorothy Laudi berbisik “rahsia besar” diiringi kenyitan mata tetapi semangat dan tenaganya lebih besar daripada rahsia itu.
Tetapi, yang pasti satu perkara yang bukan lagi rahsia adalah semangatnya yang meluap-luap terhadap pendidikan dan pembelajaran, terbukti dengan ketekunannya menyiapkan ijazah sarjana keduanya.
Kecintaanya kepada buku tidak terhenti setakat soal memajukan diri. Rahib itu yang memberitahu bahawa beliau sudah hidup lebih separuh abad, juga adalah pengasas kepada 11 tadika di kawasan pendalaman Sabah.
“Saya sedang menyiapkan penulisan tesis tentang pendidikan awal kanak-kanak di kawasan pedalaman, yang saya harap dapat disiapkan pada akhir Oktober,” kata Sister Laudi.
Beliau menguruskan lapan tadika di Paitan, satu di Sinsogon, satu di Tananduk dan yang terbaru- yang ke-11- baharu sahaja dibuka di Pensiangan, Sabah.
Kawasan pedalaman Pensiangan jauhnya enam jam memandu dar Kota Kinabalu, atau hanya 20 kilometer dari sempadan Kalimantan.
Sister Laudi berkata beliau bercadang membuka empat lagi tadika dalam tempoh dua tahun akan datang.
Tadika itu tidak akan wujud jika tidak mendapat sumbangan individu dan badan bukan kerajaan seperti Touching Lives dari Selangor, katanya.
Tadikanya tidak mengenakan sebarang bayaran, dan gaji para guru, peralatan sekolah dan minyak bot yang membawa kanak-kanak ke sekolah setiap hari semuanya hasil sumbangan derma.
Sister Laudi berkata Toucing Lives menderma RM30,000 untuk pembinaan tadika di Pensiangan.
“Separuh daripada guru saya dihantar ke koleh untuk menjadi guru tadika dan mereka juga melatih guru lain,” katanya bangga, menambah yang semua gurunya berdaftar dengan Jabatan Pendidikan.
Katanya, semua derma disimpan dalam tabung pusat dikawal oleh penyelia gerejanya.

Kepentingan pendidikan awal
Sister Laudi juga mendedahkan fakta yang tidak banyak badan bukan kerajaan yang mahu menubuhkan sekolah pendidikan awal kanak-kanak di kawasan pedalaman, menambah yang beliau hanya bertemu satu sahaja- Pacos Trust.
Katanya, kadar keciciran pelajar sekolah menengah dalam kalangan kanak-kanak pedalaman yang tinggi bukan hanya disebabkan masalah logistik, tetapi juga disebabkan kerana pelajar tersebut tidak mempunyai sebarang asas pendidikan sehingga tidak mampu mengikuti sukatan pelajaran ketika mereka masuk Darjah 1.
“Ramai kanak-kanak ini datangnya dari keluarga yang sangat, sangat miskin, yang ibu bapa mereka tak mampu hantar mereka ke sekolah.
“Kesannya, ramai terperangkap dalam situasi dan berkahwin dalam usia muda untuk membantu ibu bapa.
“Jika mereka boleh dapat pendidikan awal yang bagus, mereka tidak akan bermasalah di sekolah rendah dan menengah dan harapnya mereka ada peluang dalam kehidupan dan melepaskan diri daripada kitaran kemiskinan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang berasal dari Tambunan itu berkata beberapa orang pelajarnya akan menamatkan pengajian Tingkatan Enam Atas dan berharap ada antara mereka layak masuk universiti.
Sempat menayangkan dengan bangga telefon pintarnya yang pertama, hadiah daripada bekas pelajarnya yang mengumpul duit untuk menggantikan telefon lamanya, beliau berkata hasil usahanya dan kakitangan serta sumbangan yang diterima akan dapat dilihat tidak lama lagi.
Katanya, ada pelajar lelakinya dari tadika pertamanya, yang menamatkan pengajian kemahiran di Pusat Latihan Kemahiran Montfort sekarang bekerja di Singapura sebagai mekanik dan juruteknik.
“Mereka adalah kumpulan pertama pelajar saya di Paitan,” kata Sister Laudi bangga. – 7 Oktober, 2018.
Komen