Jangan biar PD dihentam tsunami seperti Phuket, kata Saiful


Salhan K. Ahmad

Adakah Anwar Ibrahim setuju operasi cegah maksiat tidak dibuat, tanya Saiful Bukhari Azlan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Oktober, 2018.

MAJLIS Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) tidak harus menghentikan operasi cegah maksiat kalau tidak mahu Port Dickson jadi seperti Phuket yang teruk dilanda tsunami 14 tahun lalu, kata Saiful Bukhari Azlan.

Calon Bebas itu mengulas kenyataan menteri kerajaan yang dilaporkan mahu operasi khalwat yang menceroboh sampai selepas tengah malam dihentikan.

Beliau yang dikenali kerana kes liwatnya dengan Anwar Ibrahim membangkitkan perkara itu bagi mencabar calon parti kerajaan itu untuk menyatakan pendirian berhubung dasar tersebut.

“Adakah (Anwar) bersetuju bahawa operasi pencegah maksiat tidak dibuat. Terutama sekali di Port Dickson.

“Kalau kita tengok di Phuket, kenapa tsunami melanda Phuket. Phuket ini kalau dari segi maksiat dia memang kadang-kadang (melampau) pun ada.

“Kalaulah perkara ini terjadi, penguatkuasa pencegah maksiat tidak dibenarkan (buat operasi), kita tak tahulah apa akan jadi pada Port Dickson,” katanya lagi.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam ceramah sulungnya di Kampung Teluk Pelanduk malam tadi dalam kempennya menentang Anwar bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Saiful mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusuf Rawa yang dilaporkan berkata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi operasi berkenaan.

Dalam satu temu bual dengan The Star itu, Mujahid juga dilaporkan sebagai berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Mujahid semalam bagaimanapun menyebut, kenyataannya disalah petik akhbar berbahasa Inggeris tersebut dan akan memberi penjelasan esok.

Bencana tsunami yang melanda pantai peranginan popular di Phuket, Thailand mengorbankan lebih 4,800 nyawa dan mencederakan hampir 8,500 individu.

Seramai 4,499 orang masih hilang akibat tsunami yang berlaku ekoran gempa bumi 26 Disember di Lautan Hindi itu.

Dakwaan mengaitkan gejala maksiat dengan bencana tsunami ditimbulkan semula oleh tokoh agama tertentu dan tersebar di media sosial ekoran bencana melanda pulau Sulawesi , 5 Oktober.

Gempa kuat skala 7.5 dan tsunami yang melanda meranapkan ribuan rumah mengorbankan lebih 1,571 orang di bandar Palu dan Donggala, berdasarkan jangkaan kerajaan Indonesia setakat ini. – 7 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen