Fahmi Fadzil akan usul pembaharuan kesihatan mental di Parlimen


Christopher Rabin

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil akan membentangkan usul berkenaan sekiranya tiada ahli Parlimen bercadang berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil akan membentangkan usul pembaharuan Akta Kesihatan Mental 2001 di Dewan Rakyat pada pertengahan bulan ini, sekiranya tiada wakil rakyat bercadang untuk membentangkan usul tersebut di Parlimen.

“Saya perlu bercakap dengan wakil rakyat lain jika mereka ada cadangan untuk membentangkan usul itu atau ada undang-undang yang dicadangkan untuk persidangan kali ini atau akan datang.

“Kalau tiada, saya akan bentang usul ini,” kata Fahmi.

Beliau juga berkata cara pakar psikiatri mendekati pesakit juga perlu disemak.

“Kita perlu ada undang-undang anti diskriminasi yang menolak mereka yang mempunyai penyakit mental,” beliau memberitahu The Malaysian Insight selepas forum mengenai kesihatan mental dan keadilan sosial anjuran Arts for Grabs dan KL Alternative Books di Publika.

Menurut Fahmi, beliau akan mengusulkan pembaharuan bukan sahaja melalui undang-undang, tetapi dengan mewujudkan budaya yang banyak membincangkan isu kesihatan mental.

“Masalahnya, pendekatan umum kita juga perlu diubah. Saya fikir kita perlu melihat bagaimana cepatnya masyarakat berubah, dahulu kita tidak membincangkan isu keganasan rumah tangga tetapi sekarang kita sudah boleh berbincang bagaimana untuk mengatasinya.

“Saya harap suatu hari nanti kita boleh membincangkan isu kesihatan mental ini secara terbuka,” katanya.

Dewan Rakyat dijadul bersidang bermula 15 Oktober selama 3 minggu. – 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen