POLIS dari Bukit Aman sudah menonton filem dokumentari Lelaki Komunis Terakhir sebelum Lembaga Penapis Filem (LPF) mengeluarkan surat penegasan larangan untuk tayangan kepada umum yang dijadual esok, kata penganjur Cooler Lumpur Festival.
LPF menegaskan larangan itu selepas penganjur Cooler Lumpur Festival memohon untuk menayangkannya di festival itu di Kuala Lumpur, esok.
Dokumentari itu pada Khamis lalu ditayangkan secara tertutup kepada wakil pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan pegawai polis dari Bukit Aman, kata pengarah festival Hardesh Singh.
“Selepas tayangan mereka kata akan maklumkan kepada kami (keputusannya). Malam semalam, lebih kurang pukul 7 malam, saya dapat surat dari LPF itu,” kata Hardesh kepada The Malaysian Insight.
Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan dokumentari Lelaki Komunis Terakhir masih tidak dapat kelulusan LPF, 12 tahun selepas diharamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kalah Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Pengharaman 12 tahun lalu masih lagi berkuatkuasa, kata LPF dalam sepucuk surat kepada penganjur festival itu, semalam.
LPF merujuk pada surat larangan Kementerian Dalam Negeri kepada penerbit filem itu, Red Films Sdn Bhd, bertarikh 5 Mei 2006.
Surat LPF itu dimuat naik oleh penganjurnya di laman Facebook Cooler Lumpur Festival tengah hari tadi.
Menurut Hardesh, pihaknya bercadang menayangkan filem itu kerana pengharamannya 12 tahun tidak begitu jelas. Ini kerana filem itu pada awalnya diluluskan untuk tayangan tanpa potongan juga oleh LPF pada 2006.
Kelulusan LPF itu ditarik balik selepas akhbar Berita Harian mengecam penerbitan dan tayangannya. Semua pihak yang diwawancara oleh akhbar itu dan mengkritik dokumentari tersebut bagaimanapun belum pun lagi menontonnya.

Akhbar itu dalam siri laporannya memetik sejarawan dan karyawan filem yang menuduh pengarahnya Amir Muhammad mendewa-dewakan fahaman komunis, dan menggesa kerajaan mengharamkannya.
“Kami merujuk kepada banyak pihak, termasuk Finas, LPF dan polis tetapi tidak ada siapa yang dapat memberikan jawapan dengan jelas,” kata Hardesh, yang juga mengerjakan audio untuk dokumentari Lelaki Komunis Terakhir.
Dalam pada itu, Hardesh mendedahkan ada kecacatan pada sistem kelulusan tayangan yang diamalkan oleh pihak berkuasa, yang hanya mengiktiraf permohonan daripada syarikat pengeluar filem dan bukan penganjur festival seperti Cooler Lumpur.
“Kerajaan perlu merombak sistem ini kerana penciptaan kandungan dan penggunaan kandungan sekarang bukan lagi seperti yang difahami semasa sistem itu diatur,” katanya.
“Sistem itu sudah ketinggalan zaman.”
Beliau memberikan satu contoh lain, filem dokumentari Zan Azlee bertajuk We Are Animal yang juga berdepan masalah ketika diminta kelulusan dari LPF.
Menurut Hardesh, filem itu tidak diluluskan untuk tayangan kerana ia tidak mempunyai surat izin Finas untuk penggambaran.
“Ini sebuah dokumentari yang dibuat di sempadan Bangladesh tentang nasib pelarian Rohingya. Adakah maksudnya pembikin filem mesti dapat surat izin dari Finas untuk buat penggambaran di luar negara supaya filem itu boleh ditayangkan di Malaysia?” tanya Hardesh.
Jelas Hardesh, semua pihak dalam industri termasuk agensi kerajaan yang berkaitan mesti faham bahawa pada zaman teknologi baru ini, tiada mana-mana pihak yang boleh lagi mengawal kandungan.
Katanya, beliau akan membangkitkan hal itu kepada Gobind supaya keadaan boleh diperbaiki. – 6 Oktober, 2018.
Komen