Bergaduh dengan Najib buat saya aktif, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri tertua di dunia terpaksa aktif semula dalam politik walaupun sudah bersara pada 2003 disebabkan ramai penyokong yang mahu beliau menyelamatkan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Oktober, 2018.

DR Mahathir Mohamad berkata pertikaiannya dengan bekas perdana menteri Najib Razak menjadikan beliau aktif berfikir meskipun sudah lanjut usia.

Menurut Dr Mahathir yang ketika ini berusia 93 tahun, beliau terpaksa memastikan fikirannya aktif dengan memikirkan cara untuk menjatuhkan Najib yang jadi perdana menteri selama 10 tahun sebelum digulingkan pada pilihan raya 9 Mei.

“Saya bergaduh besar dengan perdana menteri dulu,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada “Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti”  di Kuala Lumpur hari ini.

“Jadi sepanjang masa otak saya aktif memikirkan cara untuk ubah kerajaan.”

Tambah, perdana menteri tertua di dunia itu lagi, beliau terpaksa aktif semula dalam politik walaupun sudah bersara pada 2003 disebabkan ramai penyokong yang mahu beliau menyelamatkan negara.

“Dua minggu lepas saya bersara (2003), orang datang jumpa saya. Mereka tak gembira dengan pengganti saya. Mereka tanya kalau saya boleh buat sesuatu,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

“Jadi, saya mula buat sesuatu. Saya jadi sangat aktif. Sudah tentu apabila apabila pengganti itu mengalah, kita kena cari orang lain untuk ganti.

“Sekali lagi, orang datang jumpa saya dan kata tolong buat sesuatu. Saya cuba bagi nasihat tetapi tak menjadi. Kemudian, saya buat keputusan saya tak boleh jadikan orang ini sebagai pemimpin, jadi saya letak keluar (dari Umno).

“Kemudian, sekali lagi saya buat sesuatu. Saya tubuh parti untuk lawan parti saya sendiri. Bagaimanapun, sejarah itu bukanlah sejarah lama. Hanya beberapa bulan lepas kita menang dan ambil alih kerajaan,” kata beliau.

Apabila anda sentiasa berfikir, menggunakan otak anda, ini bermakna anda tidak akan menjadi pelupa, seperti yang anda dapat lihat pada orang tua, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Oktober, 2018.

Dr Mahathir kemudian mengulangi kenyataannya sebelum ini iaitu umur persaraan terbaru ialah 95 tahun.

“Saya belum bersara lagi, umur baru bersara ialah 95. Jadi, kita semua muda lagi.

“Umur 95 saya bersara, saya janji,” kata beliau.

Ahli Parlimen itu juga menasihatkan warga emas supaya kekal aktif, mental dan fizikal.

“Saya dah tak berjoging. Penat.

“Apa yang saya boleh buat ialah bekerja. Saya terus bekerja. Bukan sebab saya suka tetapi orang paksa saya.

““Jadi apabila anda sentiasa berfikir, menggunakan otak anda, ini bermakna anda tidak akan menjadi pelupa, seperti yang anda dapat lihat pada orang tua,” kata anak kelahiran Kedah itu.

Dr Mahathir yang kini menjadi perdana menteri kali kedua, menggalas jawatan sama selama 22 tahun sebelum ini.

Beliau meletak jawatan pada 2003 tetapi membuat keputusan untuk kembali semula dalam politik selepas negara dipalis skandal 1MDB. – 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen