CALON PAS Mohd Nazari Mokhtar menuntut agar turut diberi peluang untuk berkempen dalam kem tentera di Port Dickson bagi mendekati pengundi di kalangan anggota terbabit.
Katanya, beliau juga harus mendapat peluang sama memandangkan calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim dijemput untuk masuk ke kem tersebut untuk berkempen.
“Sepatutnya benarkanlah sama. Kalau mahu bertanding secara adil, beliau boleh masuk ke dalam kem, saya pun boleh masuk dalam kem.
“(Calon Bebas) Isa Samad dan rakan-rakan lain juga patut boleh masuk ke dalam kem, barulah pertandingan adil,” katanya pesara Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkat leftenan kolonel itu.
Tambahnya, mereka perlu mendekati pengundi berkenaan dalam masa terdekat kerana pengundian awal akan dijalankan dalam masa beberapa hari saja lagi, pada Selasa depan.
Ketika ditanya, beliau bagaimanapun mengakui PAS masih belum membuat sebarang permohonan untuk memasuki kem tentera berkenaan.
“Sebagai pembangkang, PAS tidak pernah diberi peluang. Kalau diberi peluang dijemput oleh panglima atau pegawai pemerintah, memang kita terima,” katanya lag
Pengundian awal melibatkan 6,690 anggota tentera dan 578 anggota polis yang berdaftar di Port Dickson akan dibuat pada 9 haribulan, hanya beberapa hari lagi.

Bekas pegawai perhubungan awam Kementerian Pertahanan itu berkata, beliau hanya kini hanya dapat menemui anggota tentera secara santai melalui acara minum teh dan makan tengahari.
“Alhamdulillah, sambutannya positif,” katanya lagi ketika ditemui semasa kempen beliau hari ini di Port Dickson.
Anggota tentera membentuk kira-kira 9% daripada 75,770 orang yang layak mengundi di kawasan Parlimen ini.
Empat lagi calon yang bertanding Bebas termasuk Saiful Bukhari Azlan yang mengadu diliwat Anwar pada 2008 dan menyebabkan ketua umum PKR itu meringkuk di penjara selama lima tahun.
Selebihnya adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.
Kerusi Parlimen port Dickson mempunyai 43% pengundi Melayu, Cina (33%) dan India (22%). – 6 Oktober, 2018.
Komen