Pakatan tak guna sebarang jentera kerajaan, kata PKR


Salhan K. Ahmad Bernard Saw

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menjawab dakwaan calon bebas Saiful Bukhari mengenai tindakan kerajaan membantu calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim di PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

PAKATAN Harapan tidak menggunakan sebarang jentera kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Port Dickson, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Menteri itu menafikan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlibat menganjurkan acara bagi kempen Anwar Ibrahim.

Katanya, kementeriannya tidak menganjurkan program jualan di Port Dickson seperti didakwa seorang calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan.

Tambahnya, kerajaan Pakatan juga tidak menjalankan amalan seperti dilakukan pentadbiran sebelum ini.

“Biar secara jujur, kita banding dengan pentadbiran yang lepas, kita semua pun tahu apa yang berlaku pada masa lepas.  

“Dalam keadaan sekarang, saya tengok tak ada langsung, tidak boleh dibuat satu lontaran seolah-olah kami guna jentera kerajaan,” katanya dalam sidang media di Port Dickson hari ini.

Saiful mendakwa Anwar menerima kelebihan apabila dibantu jentera kerajaan untuk berkempen di PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

Saifuddin berkata, Pakatan juga berjaya membentuk kerajaan walau tidak pernah bernaung dengan jentera kerajaan sejak 20 tahun lalu.

“Tak ada alasan apabila kami dah tubuh kerajaan, kami pula nak gunakan jentera kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Saiful mengenai program KPDNHEP yang menurutnya akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Saifuddin turut menafikan dakwaan calon Bebas itu bahawa kempen Anwar tidak adil kerana dapat berkempen di kawasan seperti masjid dan juga kem tentera.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kunjungan Anwar ke masjid dan kem berkenaan tidak boleh dilihat dari sudut politik semata-mata.

Malah beliau sendiri turut memberi tazkirah di masjid semasa kempen di Port Dickson atas jemputan dari rumah ibadat terbabit.

“Saya pun pergi masjid. Kadang kala ada orang yang kenal dengan kita, tanya bolehkah kita beri tazkirah lima minit?

“Tuhan kata, saling memberi peringatan, beri manfaat kepada orang yang beriman. Atas semangat itu, kalau saya kata ini pilihan raya, ini masjid (dan tolak). Mana semangat itu?

“Jadi saya sampaikanlah,” katanya yang turut mempertahankan tindakan Anwar menyampaikan tazkirah di masjid sekitar kawasan Parlimen terbabit.

Anwar bersama Menteri Komunikasi dan Media Gobind Singh Deo ketika berkempen di PRK Port Dickson hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

Anwar semalam mengakui bahawa beliau menyampaikan ceramah Maal Hijrah di sekurang-kurangnya enam surau dan masjid di sepanjang kempen ini.

Pada malam tadi, beliau berucap di hadapan kira-kira 100 orang jemaah di Surau Al-Jamaliah di Kampung Bagan Pinang.

Mengulas mengenai pertemuan Anwar dengan anggota tentera pula, Saifuddin turut mengulangi bahawa ia dibuat atas undangan pasukan berkenaan.

“Saya juga dijemput persatuan veteran. Kalau saya hadir, sama dengan (Anwar),” katanya.

Anwar semalam hadir sekali lagi ke kem tentera di Port Dickson bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Dalam acara tersebut, Aminuddin mengumumkan kerajaan negeri akan menyumbang RM50,000 kepada Tabung Kebajikan Tentera dan RM20,000 kepada Markas Latihan Tentera Darat negeri itu setiap tahun.

Ia merupakan kunjungan kedua Anwar di kem tersebut sejak kempen PRK Port Dickson bermula seminggu lalu.  – Bernama, 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen