MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini turun ke Port Dickson membantu kempen Anwar Ibrahim untuk pilihan raya kecil (PRK) 13 Oktober ini, namun menegaskan beliau datang sebagai pemimpin DAP dan bukannya menteri Kabinet.
“Kita tolong kawan apabila ada pilihan raya,” kata Gobind kepada wartawan yang mengikuti kempen Anwar pagi tadi.
“Saya datang berkempen kerana kami kawan baik. Saya bukan sokong beliau sebagai menteri. Saya di sini sebagai Gobind Singh Deo dan saya ahli Parlimen Puchong,” tambahnya.
Anwar malam tadi mendakwa Gobind akan datang berkempen untuknya bagi menjelaskan isu tentang perkhidmatan Internet yang lembap di Port Dickson.
Gobind bagaimanapun menjelaskan sebarang usaha meningkatkan mutu perkhidmatan Internet di Port Dickson tidak ada kena mengena dengan Anwar.
Portal berita Malaysiakini melaporkan Adun Lukut Choo Ken Hwa yang juga ahli DAP menyelar Anwar kerana menganjurkan makan malam percuma untuk meraih undi.
Katanya, kempen semacam itu tidak ada bezanya dengan apa yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk membeli undi.
Gobind mempertahankan kempen Anwar dan menyifatkan ia adalah sebahagian daripada proses berkempen.
“Ini bukan macam Anwar anjurkan acara dan jemput orang dan beri mereka makan.
“Adakah kita hendak kata calon tidak boleh datang ke kedai kopi, tempat orang selalu belanja orang lain?” katanya.
Anwar berdepan enam calon lain daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas antaranya bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad serta Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantunya sendiri yang terlibat dalam kes liwat kedua.
PRK pada 13 Oktober itu diadakan untuk menghantar Anwar ke Dewan Rakyat dalam pelan peralihan kuasa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Pada 12 September lepas, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.
Danyal yang meraih 36,225 undi menang dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan daripada MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan. Mahfuz hanya dapat 6,594 undi. – 6 Oktober, 2018.
Komen