SEORANG pakar keselamatan mempersoalkan prosedur dan strategi yang dipakai dalam operasi menyelamat mangsa lemas yang mengorbankan enam anggota bomba di Puchong, Selangor minggu ini.
Standard operasi prosedur (SOP) yang digunakan itu mungkin tepat bagi situasi yang lain tetapi tidak dalam keadaan air yang deras lebih-lebih lagi pada waktu malam, kata Pengerusi Persatuan Profesional Minyak dan Gas Semenanjung Malaysia (PMOGPA), Marikh Azahari Ramli.
“Berdasarkan rakaman video, saya lihat enam orang diikat dengan tali antara satu sama lain dan masuk ke kawasan terjunan air.
“Saya tidak tahu apa alasan pihak bomba guna kaedah tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jelas beliau, berdasarkan pengalamannya lebih 13 tahun terlibat dalam operasi di bawah permukaan air, tidak semua penyelam diikat dengan tali keselamatan yang sama.
“Pengalaman saya, operasi menyelamat kami, hanya menggunakan seorang. Apabila seorang turun menyelamat, seorang lagi menjaga tali keselamatan.
“Apabila meletakkan seorang menjaga lebih daripada seorang, ia tidak mampu mengawal kesemuanya,” katanya lagi.

Jelas beliau, enam orang diikat dengan satu tali sebenarnya meningkatkan risiko kerana jika seorang tergelincir, yang lain akan ikut tertarik lebih-lebih lagi di kawasan pusaran air.
Dalam kejadian pada Rabu malam, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air mati lemas selepas seorang daripada mereka dilaporkan tergelincir, menyeret semua mereka “berpusing-pusing di dalam air.”
Mereka kemudian diselamatkan naik ke darat dan diberikan bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya.
Jelas Azahari, kenyataannya ini bukanlah hendak mempertikaikan keupayaan pasukan bomba tetapi semata-mata berharap kejadian sama tidak berulang.
“Saya faham tidak adil untuk pertikai SOP bomba. Tetapi sepatutnya, pihak bomba perlu kenal pasti tahap bahaya persekitaran bagi menilai apa-apa risiko yang boleh berlaku.
“Pihak saya dengan terbuka hati menawarkan secara sukarela latihan, perkongsian idea dan maklumat kepada anggota bomba, polis, dan Rela untuk sama-sama kita perbaiki SOP dan taktikal menyelamat,” tambahnya lagi.
Azahari yang mempunyai sijil keselamatan antarabangsa, Nibosh International Safety and Health for Occupational, berkata pasukan penyelamat juga perlu menitikberatkan kaedah dan kelengkapan menyelamat.
Katanya, semua maklumat perlu diteliti misalnya kedalaman dan kelajuan air, cuaca dan risiko yang ada sebelum merangka strategi menyelamat.
“Ancaman bahaya yang ada perlu dihapuskan atau dikawal. Sekiranya tidak boleh dihapuskan atau dikawal, pasukan penyelamat perlu guna kaedah lain untuk mengelak risiko berada di kawasan berbahaya,” tambah beliau.

Menceritakan pengalaman beliau dalam pasukan penyelam, Azahari, 43, berkata setiap penyelam perlu dibekalkan helmet keselamatan, pisau untuk memotong tali, sistem perhubungan dan bekalan oksigen. Jika berada di kawasan gelap, operasi perlu dibantu dengan lampu limpah.
“Lampu limpah sangat penting. Ia bukan sekadar isu keselamatan tetapi boleh memberi keyakinan untuk pasukan menyelamat ketika operasi dijalankan.
“Penggunaan alat skuba dan juga peralatan menyelam yang lain akan dapat mengelakkan daripada berlakunya lemas akibat tertelan jumlah air yang begitu banyak dan juga dapat membantu pernafasan dalam keadaan individu,” tambah beliau.
Jelas Azahari, berdasarkan pengalamannya, manusia tidak mampu menahan kederasan air yang melebihi 1 knot.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya kelmarin berharap pasukan penyelamat akan meningkatkan latihan berkesan bagi mengelak kejadian sama berlaku lagi.
Timbalan Pengarah JBPM Soiman Jahid turut mempelawa golongan profesional termasuk pakar penyelam untuk berkolaborasi dan berkongsi idea dalam usaha menyelamatkan orang ramai.
Ketua Pengarahnya, Mohamad Hamdan Wahid pula berkata operasi itu sudah mematuhi semua SOP tetapi berakhir tragedi kerana keadaan persekitaran yang terlalu mencabar.
Enam anggota bomba yang terkorban selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing kelmarin, selepas diberikan penghormatan wira di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam.
Mayat remaja 17 tahun yang hilang ketika memancing dengan dua rakannya di lombong itu juga ditemui semalam dan selamat dikebumikan di Puchong, malam kelmarin. – 6 Oktober, 2018.
Komen