Selepas 12 tahun, 'Lelaki Komunis Terakhir' masih haram, kata LPF


Noor Azam Shairi

'Lelaki Komunis Terakhir' adalah dokumentari yang merakamkan temubual dengan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang ada kaitan dengan perjalanan hidup ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng.

FILEM dokumentari “Lelaki Komunis Terakhir” masih tidak dapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk tayangan umum, 12 tahun selepas diharamkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kalah Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Status filem itu dipertegaskan oleh LPF selepas penganjur Cooler Lumpur Festival memohon untuk menayangkannya di festival itu di Kuala Lumpur, hujung minggu ini.

Pengharaman 12 tahun lalu masih lagi berkuatkuasa, kata LPF dalam sepucuk surat kepada penganjur festival itu, semalam.

LPF merujuk pada surat larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada penerbit filem itu, Red Films Sdn Bhd, bertarikh 5 Mei 2006.

“Oleh demikian, selaras dengan larangan tersebut, adalah dimaklumkan tayangan filem ‘Lelaki Komunis Terakhir’ adalah tidak dibenarkan,” kata surat itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat semalam ditandatangani Setiausaha LPF, Yusniza Yusuf, dialamatkan kepada Pengarah Cooler Lumpur Festival 2018, Hardesh Singh.

Hardesh yang dihubungi mengesahkan menerima surat berkenaan malam tadi.

Pengarah Lelaki Komunis Terakhir, Amir Muhammad juga mengesahkan surat LPF itu.

“Memetik kata-kata Maya Karin dalam ‘Ombak Rindu’, ‘reda itu ikhlas. Pasrah itu menyerah’,” jawab Amir ringkas, ditanya tentang penegasan pengharaman oleh LPF itu.

“Lelaki Komunis Terakhir”, yang digambarkan oleh Amir sebagai sebuah kembara dokumentari berlagu atau dokumentari separuh muzikal, bagaimanapun bukan tentang Chin Peng, ketua Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan kerajaan.

Dokumentari 90 minit itu sebaliknya merakamkan temubual dengan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang tinggal di bandar-bandar yang ada kaitan dengan perjalanan hidup Chin Peng. Wawancara itu diselang-seli dengan lagu yang digubah menyamai tempo dan nada lagu propaganda.

“Lelaki Komunis Terakhir” pernah ditayangkan di lebih 20 festival filem antarabangsa termasuk di Berlin, Singapura, London, Seattle dan San Francisco.

Dua belas tahun lalu dokumentari itu ironinya diluluskan oleh LPF untuk tayangan umum tetapi ditarik balik kelulusannya 10 hari sebelum ia dijadual masuk pawagam pada Mei 2006.

Kelulusan LPF itu ditarik balik selepas akhbar Berita Harian mengecam penerbitan dan tayangannya. Semua pihak yang diwawancara oleh akhbar itu dan mengkritik dokumentari tersebut bagaimanapun belum pun lagi menontonnya.

Akhbar itu dalam siri laporannya memetik sejarawan dan karyawan filem yang menuduh Amir mendewa-dewakan fahaman komunis, dan menggesa kerajaan mengharamkannya.

Status “Lelaki Komunis Terakhir” yang “tidak jelas” itu adalah alasan kenapa pihak penganjur mahu menayangkan di Cooler Lumpur Festival tahun ini.

Festival yang masuk tahun keenam itu kali ini mengangkat tema Ctrl-Alt-Del, yang melihat isu-isu pembetulan semula – bagaimana membetulkan semula dunia sekiranya ada peluang.

“Kami percaya filem ini dikritik dengan tidak adil hanya kerana tajuknya dan tiada siapa yang membantahnya pernah menontonnya. Atas alasan itu, kami berhasrat mahu menayang filem ini,” kata Hardesh, dalam satu kenyataan minggu ini, sebelum LPF mengeluarkan surat larangan kepadanya semalam.

Pengarah Amir Muhammad menggambarkan 'Lelaki Komunis Terakhir' sebagai sebuah kembara dokumentari berlagu atau dokumentari separuh muzikal. – Gambar Facebook, 6 Oktober, 2018.

Sebelum surat semalam juga, pihak penganjur festival sudah cuba mematuhi prosedur termasuk berhubung dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), LPF dan Cawangan Khas untuk mendapatkan kebenaran.

Ketika itu tiada pihak yang tahu status sebenar “Lelaki Komunis Terakhir” sehinggalah surat LPF semalam.

Semasa pengharamannya 12 tahun lalu, beberapa pemimpin pembangkang ketika itu berpendapat LPF tiada alasan yang wajar melarang tayangannya.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Rais Yatim pada masa itu juga berkata tiada apa-apa yang kontroversi tentang “Lelaki Komunis Terakhir”.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada KDN untuk membuat keputusan, dengan menterinya ketika itu, Radzi Sheikh Ahmad.

Rais membuat kenyataan itu selepas menonton dokumentari berkenaan di Finas bersama beberapa anggota Parlimen pada 21 Mei 2006. Tayangan itu dibuat atas permintaan Lim Kit Siang, ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada masa itu.

Antara yang ikut sama menonton ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur M Kulasegaran, Ahli Parlimen Segambut Teresa Kok dan Setiausaha Agung PAS (ketika itu) Kamaruddin Jaafar yang kini ahli PKR.

Mereka sekarang adalah menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya umum 9 Mei lalu. – 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen