ANWAR Ibrahim malam tadi mengumumkan syarikat penerbangan gergasi AirAsia akan membantu Port Dickson melonjak ke tahap lebih tinggi.
Presiden PKR berkata usaha itu akan membangunkan sektor pelancongan dan ekonomi di bandar tepi pantai itu.
“AirAsia dan Tony Fernandes sudah mengumumkan mereka akan mempromosikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan. Saya gembira kerana beliau menyokong rakyat,” kata calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil (PKR) kawasan itu ketika merasmikan acara kebudayaan India di Kampung India, Bukit Pelandok.
Dalam status LinkedIn pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tony berkata Port Dickson boleh dibangunkan untuk menjadi seperti Pantai Jumeirah Dubai.
Port Dickson boleh menjadi persinggahan bagi pelancong yang ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau sebaliknya, kata ahli korporat berusia 54 tahun itu.
“Pusat-pusat konvensyen, membeli-belah dan peranginan adalah beberapa projek yang kami percaya boleh membawa Port Dickson ke tahap yang baru.
“Memandangkan kami membawa lebih banyak penumpang berbanding Emirates, yang menjadikan Dubai sebagai destinasi persinggahan yang berjaya, kami berhasrat melakukan perkara yang sama dengan Port Dickson.
“Peranan yang akan dimainkan akan meningkatkan taraf masyarakat setempat melalui kesan pelancongan berganda yang penting.”
Anwar semalam berseloroh terhadap Tony kerana menyokong pentadbiran Barisan Nasional (BN) ketika bekas perdana menteri Najib Razak berkuasa.
Beliau berkata Tony adalah ahli perniagaan yang baik, tetapi tidak mempunyai ketajaman politik.
“Beliau seorang ahli perniagaan dan pengurus yang baik, tetapi dalam politik tidak begitu pintar.
“Tidak mengapa. Saya mungkin pintar dalam politik, tetapi tidak begitu pintar dalam perniagaan.
“Jadi, saya memberitahu Tony, berhubung hal politik, anda perlu mendengar kata ‘anne’ anda, tetapi apabila ia melibatkan soal perniagaan, saya akan mendengar cakap anda,” kata Anwar kepada kira-kira 200 hadirin yang majoritinya terdiri daripada kaum India.
Bekas timbalan perdana menteri itu merujuk kepada video Tony yang dipaparkan tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang membayangkan sokongannya kepada BN.

Tony juga membalut pesawat AirAsia dengan material promosi BN ketika Najib kembali daripada berkempen di Sabah.
Anwar berkata antara perkara yang beliau akan lakukan untuk Port Dickson adalah meningkatkan pelancongan, membersihkan pantai dan memastikan sambungan Internet yang kuat.
Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau mahu memperkenalkan program tuisyen dalam talian untuk pelajar, tetapi rancangan itu terhalang oleh sambungan Internet yang lemah di kawasan itu.
Beliau berkata sudah memberitahu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk memperbaiki masalah itu yang berjanji untuk mengambil tindakan.
“Di Port Dickson, internet tidak baik ... ‘aiyo kadavule’! (oh Tuhanku!) Saya telefon Gobind dan bertanya, ‘bila anda mahu datang?’ Beliau kata, ‘esok’.
“Saya beritahu, ‘kawan-kawan saya di sini berkirim salam, mereka mengatakan Internet di sini tidak baik’.
“Gobind berkata beliau akan memastikan perkhidmatan Internet di Port Dickson akan menjadi No. 1.”
Kerusi Port Dickson kosong selepas Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR melepaskan jawatannya sebagai ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Anwar, yang cuba membuat kepulangan semula ke Parlimen.
Ini adalah sejajar dengan rancangan PH untuk memastikannya mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kelak.
Pada PRU14, Danyal mendapat 36,225 undi, mengalahkan calon BN Mogan Velayatham dan Mahfuz Roslan daripada PAS, yang menerima 18,515 undi dan 6.594 undi.
Anwar berdepan pertembungan tujuh penjuru untuk kerusi itu. Beliau menentang lima calon Bebas iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen serta veteran angkatan tentera Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS.
Tarikh mengundi ditetapkan pada 13 Oktober. – 6 Oktober, 2018.
Komen