Ketepi selisih faham keluarga demi kebenaran, kata abang CEO Cradle


Alfian Z.M. Tahir

Mahkamah membenarkan kubur jenazah CEO Cradle Fund Nazrin Hassan yang dipercayai dibunuh pada Jun, digali semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

KETEPIKAN apa saja perselisihan faham keluarga untuk sama-sama mencari kebenaran di sebalik kematian CEO Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, kata abangnya Dr Malek Hassan.

Malek, 60, memulakan proses untuk menggali semua jenazah Nazrin yang dikebumi pada Jun lalu apabila membuat aduan polis kerana tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur. Laporan polis dibuat pada 24 September lepas.

Polis kemudian mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula kuburnya bagi bedah siasat kali kedua.

Keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya itu bagaimanapun dicabar oleh balu Nazrin, Samirah Muzaffar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelmarin.

Setelah mendengar hujah semua pihak, Hakim Ab Karim Ab Rahman membenarkan kubur itu digali semula selepas mahkamah membetulkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin lalu.

“Majistret tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 339 (3) Kanun Prosedur Jenayah kerana seksyen itu melibatkan permohonan untuk inkues, sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan.

“Sehubungan itu, saya memperbetul arahan majistret kepada Seksyen 329 (3) Kanun sama bagi memberi kuasa kepada pihak polis gali semula kubur Allahyarham untuk menentukan sebab kematian,” katanya.

Malek memberitahu The Malaysian Insight yang keluarganya hanya mahukan kebenaran dan mahu tahu punca kematian Nazrin.

“Kami mahu keadilan, itu saja. Saya percaya yang sebelah sana pun (keluarga Samirah) mahukan itu juga,” katanya.

Malek bagaimanapun mendedahkan keluarga kedua-dua belah pihak sudah tidak bertegur sapa sejak kematian Nazrin pada malam Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Kami tidak lagi berhubung. Kami juga tidak dimaklumkan tentang bantahan terhadap bedah siasat kedua pada Khamis,” katanya, merujuk pada semakan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Saya tidak tanya mereka kenapa dan mereka juga tidak beritahu kenapa.”

Dua anak tiri CEO Cradle Fund Nazrin Hassan direman bagi siasatan berhubung kematiannya pada 9 September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.

Malek juga mendedahkan seorang polis yang memaklumkan kepada keluarganya akan tindakan mahkamah oleh Samirah.

“Saya lega semuanya sudah selesai. Kerja-kerja menggali kubur akan dilakukan pada Isnin dan saya akan hadir,” kata doktor yang berpejabat di Johor itu.

Peguam Samirah, Hisyam Teh Poh Teik berkata permohonan semakan semula itu dibuat kerana perintah untuk bedah siasat kedua dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang salah.

Katanya, perintah yang dikeluarkan oleh majistret itu cacat kerana pada masa ini siasatan kematian Nazrin bukan inkues tetapi masih siasatan polis.

“Hakim bersetuju dengan hujah kami dan meminda perintah yang dikeluarkan oleh majistret,” katanya.

Nazrin ditemui mati dalam bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di  Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu, sehari sebelum hari raya.

Keluarganya sebelum ini mendakwa telefon genggam beliau yang sedang dicas bateri meletup, menyebabkan kebakaran itu. Cradle Fund turut mengeluarkan satu kenyataan media menyatakan CEO itu meninggal dunia selepas cedera akibat letupan yang sama.

Malek, yang menyaksikan jenazah Nazri selepas bedah siasat pertama, memberitahu The Malaysian Insight beliau nampak kesan luka pada bahagian kiri kepala adiknya itu terlalu besar dan dalam, dan tidak mungkin disebabkan oleh benda tumpul seperti telefon genggam.

“Luka pada kepala Nazrin hanya boleh disebabkan oleh benda tajam kerana lukanya dalam,” kata beliau.

Polis kemudian menahan Samirah, bekas suaminya, dua anak lelaki mereka, serta adik Samirah bersama suaminya untuk siasatan. Mereka dibebaskan dengan jaminan. – 6 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen