MB Selangor mahu media bersatu semak imbang kerajaan


Nabihah Hamid

Era Malaysia Baharu memerlukan media jadi agensi bebas dan lantang demi demokrasi, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

SEMUA media tempatan perlu bersatu padu menjadi semak imbang kerajaan dengan membuat laporan yang telus, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau yang juga Adun Sungai Tua itu berkata, selepas pertukaran kerajaan 9 Mei lalu, media perlu mengambil peluang era Malaysia Baharu untuk menjadi agensi yang bebas dan lantang demi prinsip demokrasi.

“Antara pengajaran penting 9 mei, rakyat akan membuat keputusan walau mereka cuba disediakan dengan laporan yang kurang seimbang yang menimbulkan laporan separa benar yang berleluasa sebelum ini. 

“Justeru kepada rakan-rakan media penting untuk mempertahankan prinsip laporan bebas dan kedudukan media untuk semak dan imbang kepada negara dan pentadbiran,” katanya dalam ucapan majlis bersama pengamal media di Shah Alam. 

Beliau turut menegaskan akan mempertahankan kebebasan media di Selangor dan tidak menghalang laporan yang tidak menyebelahi beliau. 

“Saya cuba pertahankan prinsip ini sebagai kerajaan ini kerana saya percaya dengan ini sajalah kita dapat melahirkan masyarakat yang matang dalam menerima dan mengamalkan apa kita panggil konsep demokrasi

“Sudah sampai masanya pemimpin dan editor mengetuai pendekatan satu kepercayaan, serta kelompok media secara menyeluruh dan berjemaah untuk mempertahankan kredibiliti ini,” katanya. 

Beliau berucap kepada kira-kira 100 pengamal dan petugas media pada sebuah majlis ramah mesra di Shah Alam. 

Menyentuh visi dan misi Selangor, Amirudin berkata beliau mahu mengangkat Selangor sebagai smart state menjelang 2025 dengan menjadikan negeri termaju Malaysia itu ‘aktor’ utama rantau Asia.

“Kita memikirkan bagaimana menjadikan Selangor lebih terampil ke hadapan kerana kita tidak mahu hanya sebagai jaguh kampung, juara dalam negara tetapi mengembangkan sayap dan pengaruh ke peringkat rantau Asia.

“Ini bukan tugas mudah kerana kebanyakan tempat lain hanya menyasarkan ‘Smart City’.” – 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen