SPRM tahan anak lelaki Azeez


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman pada 26 September lalu. Terkini, anak lelakinya pula ditahan untuk membantu siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2018

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak lelaki Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.

Peguam Azeez, K. Kumareandran mengesahkan penahanan itu.

“Ya, saya diberitahu yang anak lelaki beliau dibawa untuk membantu siasatan,” kata peguam  itu kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Azeez berkata selain anaknya yang berusia 24 tahun itu, beberapa rakan ahli Parlimen Baling turut ditangkap.

Mereka yang ditahan didakwa dinamakan dalam syarikat yang dikaitkan dengan Azeez.

“Bukan hanya anak lelaki beliau, tetapi beberapa orang yang lain juga ditahan,” kata sumber itu.

Sumber turut menyebut yang anak lelaki Azeez berperanan selaku perantara.

Awal pagi tadi, Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji dibebaskan dengan ikat jamin selepas tempoh reman 10 harinya tamat. Turut dibebaskan adalah abangnya.

Ahli Parlimen Baling itu dan abangnya, Latiff direman sejak 26 September lalu.

Azeez yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno ditahan di Ibu Pejabat SPRM 25 September lalu.

Mei lepas, tidak lama selepas Pakatan Harapan takluk Putrajaya, SPRM menyerbu tiga kediaman berkaitan Azeez- rumahnya di Subang Jaya, Selangor dan Baling, Kedah serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sejumlah RM500,000 wang tunai dirampas, serta sekurang-kurangnya 20 jam mewah dan hampir RM1.2 juta wang tunai pelbagai mata wang seperti Bangladesh, Maldives, Arab Saudi dan British.

SPRM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi penangkapan terbaru itu. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen