CALON Bebas mendesak Bersih 2.0 memainkan peranan lebih aktif untuk mengesan kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan calon dari parti kerajaan, Anwar Ibrahim.
Salah seorang daripadanya, Saiful Bukhari Azlan berkata, Bersih perlu lebih aktif kerana mendakwa terdapat calon yang melanggar peraturan dengan menjalankan kempen secara tidak adil.
Beliau antara membangkitkan kempen Anwar di program bersama tentera dan di masjid yang didakwa tidak adil kepada calon lain dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
Saiful turut mempersoalkan penganjuran acara jualan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang menurutnya akan berlangsung pada hujung minggu ini.
“Jadi diharap Bersih dapat memantau dan bukan hanya melihat,” katanya dalam sidang media bersama badan tersebut dan juga tiga calon Bebas lain pagi ini.
Seorang lagi calon, Lau Sek Yan juga tidak berpuas hati kerana Bersih menyatakan, badan itu masih lagi mengumpul aduan berkenaan kesalahan dalam kempen PRK Port Dickson.
“Kalau tunggu saja orang lapor, siapa pembela kita sebenarnya. Kalau sekadar menunggu, sampai bila?” soalnya dalam sidang media sama.
Pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari ketika menjelaskan perkara itu seterusnya berkata, badan tersebut tidak dapat memantau kesemua kesalahan kerana tidak berkemampuan.
Jelasnya, pemerhati Bersih seramai 18 orang membuat pemantauan bersama penguatkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta daripada pihak berkuasa tempatan.
“Tapi kami memang tidak mampu tengok semua. Jadi diharap orang awam dan juga calon akan dapat lapor kepada kami di laman pemantau.org, katanya,” katanya.
Ketika ditanya, beliau berkata belum ada aduan yang diterima dan Bersih masih dalam proses mengumpul aduan.
Bagaimanapun, Bersih akan tetap membuat teguran sekiranya mengesan kesalahan dilakukan mana-mana calon, katanya lagi.
“Bersih harap calon ambil cakna dan (parti) elak libatkan calon dalam program atau acara yang boleh nampakkan unfair advantage kepada calon bertanding,” katanya
Ketika ditemui selepas itu, Shahrul berkata beliau sememangnya menerima aduan mengenai calon Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim yang menemui veteran tentera dalam satu program semalam.
Anwar tiba ke acara di kem angkatan tentera di Port Dickson itu semasa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedang memberi ucapan.
Katanya, beliau melihat rakaman video menunjukkan Anwar meninggalkan majlis dengan menaiki kenderaan sama dengan Mohamad.
Dalam acara tersebut, Mohamad mengumumkan peruntukan kemudahan untuk warga tentera berjumlah puluhan juta ringgit.
Mohamad turut mengingatkan veteran tentera yang hadir ke program berkenaan yang Anwar akan menjadi perdana menteri sekiranya menang pilihan raya kecil tersebut.
Ia merupakan kunjungan kedua Mohamad ke kem berkenaan semenjak Anwar diumumkan sebagai calon PRK Port Dickson.
Acara berkenaan merupakan antara perkara yang sedang diteliti lanjut Bersih 2.0, kata Shahrul lagi. – 5 Mac, 2018.
Komen