Dr Mahathir berkempen untuk Anwar di PD


Chan Kok Leong

Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk berkempen pada PRK Port Dickson susulan khabar angin mengenai hubungannya dengan Anwar Ibrahim yang masih berterusan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan berkempen untuk Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 8 Oktober.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata beliau memutuskan untuk berkempen dalam PRK itu selepas khabar angin mengenai hubungannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berterusan.

Selain Dr Mahathir, beberapa menteri Pakatan Harapan lain juga dijangka berkempen di Port Dickson pada tarikh yang sama juga.

“Saya dan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan akan berada di Port Dickson pada 8 oktober dalam satu majlis besar-besaran bagi kempen kita.

“Kita juga harap pengundi luar di PRK Port Dickson ini akan balik mengundi kerana tidak ada undi pos. Dia kena balik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu sebelum ini menyatakan beliau tidak akan turun berkempen bagi membantu Anwar menghadapi PRK Port Dickson dan perkara itu kata Dr Mahathir sudah dimaklumkan kepada Anwar.

Walaupun tidak turun berkempen, Dr Mahathir menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu dan ia hak Anwar bagi membolehkan bekas timbalan perdana menteri itu kembali ke Parlimen.

Menurut Dr Mahathir, keputusan untuk turun berkempen antaranya adalah disebabkan terdapat banyak laporan menyatakan beliau tidak menyokong Anwar disebabkan “pertengkaran” di antara mereka.

Calon Pakatan Harapan bagi PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim berjumpa penduduk di sekitar Lukut dalam siri kempennya. – The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2018.

Secara tradisinya, perdana menteri tidak akan berkempen dalam PRK.

“Mereka bercakap mengenai pertengkaran kami sebab itu saya tidak sokong Anwar.

“Banyak orang bercakap macam-macam pasal saya. Jadi, saya akan pergi (berkempen) sanalah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRK Port Dickson, Dr Mahathir akui suasana kempen masih belum berada di kemuncaknya kerana rakyat sudah letih dengan pilihan raya.

Ditanya mengenai kenyataan Bersih 2.0 yang meminta supaya para menteri tidak berkempen secara langsung atau tidak langsung di PRK Port Dickson, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.

“Walaupun kita jadi menteri, kita adalah ahli parti. Jadi kerja parti kena juga dilakukan. Kerja parti kita tidak dapat bayaran,” katanya.

Bersih sebelum ini menasihatkan para menteri untuk tidak berkempen untuk Anwar di Port Dickson untuk memastikan persaingan yang adil.

Nasihat itu susulan ucapan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di kem tentera di Port Dickson yang dihadiri oleh Anwar. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen