CALON PAS Mohd Nazari Mokhtar dan juga Isa Samad yang bertanding Bebas enggan menandatangani ikrar untuk berkempen secara bersih anjuran pemantau pilihan raya Bersih 2.0.
Pemangku pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata Mohd Nazari memberi alasan, calon tersebut tidak mendapat kebenaran oleh pucuk pimpinan parti.
Penyelaras (kempen) Isa pula kata mereka tidak tandatangan kerana bimbang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersetuju dengan ikrar tersebut, kata Shahrul dalam sidang media di Port Dickson hari ini.
Lima calon lain menandatangani ikrar berkenaan yang antara lain menggariskan perakuan untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Kesalahan itu antara lain merangkumi perbuatan rasuah, jamuan dan had perbelanjaan untuk pilihan raya.
Ikrar lima perkara itu juga menetapkan calon untuk tidak menggunakan sumber, kenderaan, kakitangan, program dan jentera kementerian, jabatan, agensi dan badan berkaitan kerajaan untuk kempen.
Selain itu, calon berjanji untuk memastikan pengundi dalam mengundi dengan bebas tanpa sebarang intimidasi, gangguan atau pengaruh tidak wajar.
Mereka turut berikrar untuk tidak menggunakan sentimen kaum dan agama sebagai alat kempen.
Empat calon Bebas – Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Saiful Bukhari Azlan turut menandatangani ikrar berkenaan dalam sidang media hari ini.
Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menyokong dan menandatangani ikrar berkenaan pada 2 Oktober. – 5 Oktober, 2018.
Komen