SELEPAS berkempen untuk hari keenam, calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim disambut dengan meriah seperti hari-hari sebelumnya berkempen di sekitar Parlimen Port Dickson.
Seperti ceramah Anwar yang lain sepanjang berkempen di Port Dickson, beliau seringkali memberi janji yang sama iaitu menjadikan bandar Port Dickson sebagai pusat pelancongan terkemuka.
Namun rata-rata penduduk Tanah Merah yang tinggal berdekatan dengan kawasan estet itu berpendapat industri pelancongan bukan menjadi keutamaan mereka sekiranya Anwar menang, sebaliknya kebajikan mereka.
Antara penduduk yang ditemubual The Malaysian Insight G Kandasamy yang bersetuju dengan hasrat Anwar untuk meningkatkan pelancongan di kawasan itu, tetapi baginya adalah lebih penting jika perkara asas rakyat seperti di kawasan pedalaman itu didahulukan.
“Kalau macam kawasan kami, kita lebih suka kalau dia tolong orang susah seperti sediakan tempat tuisyen sebab nak hantar tuisyen anak di kawasan berdekatan pun susah, bas pun tak lalu kat sini.
“Saya harap kalau dia dah jadi perdana menteri, gaji pekerja estet naik sebab kalau gaji setakat RM1,000 dengan lima orang anak macam mana nak hidup? soal pekerja buruh berusia 45 tahun itu.
Tanah Merah terletak kira-kira 15 kilometer dari kawasan bandar Port Dickson, iaitu jauh dari kawasan pantai di Parlimen tersebut.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjanji akan memberi laluan kepada Anwar menyandang jawatan tersebut selepas dua tahun mentadbir negara.
Lim Choon Seng yang merupakan seorang pesara berkata, beliau percaya bakal perdana menteri kelapan itu mampu mengubah keadaan Port Dickson yang disifatkan pembangunan sedia adanya tidak memuaskan.
“Pelancong kurang, tiada orang luar yang minat datang sini. Pelan strukturnya mesti akan berjaya, kita mesti percaya (dengan Anwar). Kalau tak, kita tak akan datang sini beramai-ramai,” katanya.
Lim berkata mustahil mereka tidak akan memberikan undi yang besar kepada Anwar memandangkan beliau merupakan bakal perdana menteri dan percaya beliau mampu menewaskan lawannya Isa Samad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan.
DUN Chua mempunyai 12,083 pengundi yang terdiri daripada 56% Cina, 23% Melayu dan 21% kaum India.
Dalam ucapan Anwar ketika berkempen di Tanah Merah malam tadi, beliau menggesa pengundi Por Dickson keluar mengundi memberikannya undi majoriti yang lebih banyak berbanding bekas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah iaitu 18,000 majoriti.
Beliau berjanji akan menumpukan untuk mempertingkatkan industri pelancongan di kawasan itu dengan pembersihan pantai, membentuk peluang pekerjaan melalui pembinaan hotel besar di sekitar kawasan Port Dickson.
Anwar turut menceritakan perbualannya bersama perdana menteri Singapura lee Hsein Loong pada dua minggu lalu, di mana Lee berkata bapanya Lee Kwan Yew pernah membawanya ke pantai di Port Dickson pada suatu ketika dahulu, ketika air pantai di situ masih bersih berbanding hari ini yang sudah kotor.
“Jadi kerja saya sekarang angkut sampah, mahu cuci pantai di Port Dickson sebab Anwar jadi ahli Parlimen, pantai mesti bersih. Nak jadikan Port Dickson pusat pelancongan yang popular di rantau ini.
“Kalau buang plastik, kita denda dan jangan bagi peluang (terlepas) sebab kita nak pantai bersih,” katanya kepada kira-kira 200 para hadirin.
Wong Yoon Chuan pula berpendapat adalah lebih baik sekiranya Anwar turut memberi tumpuan kepada membangunkan industri perkilangan untuk peluang pekerjaan.
“Saya suka kalau Anwar jadi ahli Parlimen di Port Dickson. Tapi kalau nak bangunkan Port Dickson, biar bangunkan sampai dapat tarik pelancong luar. Sebab kalau kita tengok sekarang, pantai di Port Dickson ni hanya ramai pelancong dalam negara saja.
“Jadi tugas dia mempertingkatkan Port Dickson sampai dapat tarik orang bukan tempatan juga,” katanya.
Ganesan, 33, turut yakin dengan kebolehan Anwar membangunkan bandar itu memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.
“Sekarang dia datang, kita gembira. Dia pun nampak masalah dekat Port Dickson dan kita tahu dia boleh bangunkan,” katanya.

Katanya, beliau juga faham sekiranya Anwar tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan di kawasannya sekiranya beliau menjadi perdana menteri nanti.
“Tapi adil jika beliau masih datang untuk tengok kawasan dan bawa isu di Port Dickson di Parlimen,” katanya.
Anwar dalam ucapannya itu turut berkata beliau enggan memburukkan enam orang lawannya itu iaitu terdiri daripada calon PAS dan lima Bebas.
“Masuk di Port Dickson, nak jadi ahli Parlimen kena jadi macam ahli keluarga (warga Port Dickson). Tapi kalau warga Port Dickson kalau kamu nak saya jadi sebahagian dari keluarga kamu, maka beri kerjasama,” katanya sambil berkata demikian berbahasa mandarin.
“Tak payah sentuh Isa ke siapa ke, jangan kacau. Kita hanya terangkan program kita, negara macam mana nak selamatkan,” kata peniaga itu.
Ceramah bakal Presiden PKR di Tanah Merah pada malam tadi terletak kira-kira 15 kilometer jauh dari kawasan bandar Parlimen itu yang diduduki oleh majoriti kaum Cina.
Bagaimanapun, ceramah bakal Presiden PKR di DUN Chua pada malam tadi bukan sahaja disambut dengan tepukan penduduk sekitar yang hadir tetapi juga tuntutan agar kebajikan mereka tidak diabaikan seperti sebelum ini. – 5 Oktober, 2018
Komen