Calon Port Dickson berlumba-lumba ziarah waris Adnan Othman


Yasmin Ramlan Asila Jalil

Jenazah Adnan Othman, seorang daripada enam anggota bomba yang lemas dalam tragedi menyelamat semalam tiba di kediaman keluarganya di Lukut, Negeri Sembilan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018.

PARA calon pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson berlumba-lumba ke Lukut hari ini untuk menziarahi keluarga salah seorang anggota bomba yang terkorban dalam satu tragedi menyayat hati malam tadi.

Calon berkenaan tiba sejak awal pagi sebaik menerima berita bahawa waris kepada Adnan Othman tinggal di Lukut, salah satu DUN dalam kawasan Parlimen Port Dickson.

Paling awal adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad yang tiba ke rumah waris berkenaan di Taman Jaya Lukut seawal jam 8 pagi.

Isa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa termasuk, bapa allahyarham yang merupakan rakan lamanya.

“Saya terima khabar berita malam tadi di mana salah seorang mangsa terlibat adalah anak kepada kawan lama saya.

“Hari ini saya datang ziarah dan ucap takziah buat keluarga arwah semoga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad mengucapkan takziah kepada bapa Adnan Othman ketika ditemui di kediaman keluarganya di Lukut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018.

Isa tiba bersama seorang lagi calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan yang menyifatkan pemergian Adnan sebagai syahid memandangkan beliau meninggal ketika bertugas.

“Saya hadir ke sini mendoakan kesejahteraan ahli keluarga mangsa dan saya yakin arwah meninggal dunia dalam tugas. Saya yakin syahid baginya,” katanya.

Saiful yang mendoakan agar keluarga mangsa tabah menerima dugaan turut menyumbangkan sedikit wang hasil tabung kempennya kepada keluarga mangsa.

Calon PAS Nazari Othman pula menyertai sembahyang jenazah yang dijalankan di Masjid Qariah Lukut, Mukim Port Dickson.

Beliau diikuti seorang lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, juga calon Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.

Anwar yang ditemui ketika mengiringi jenazah allahyarham Adnan ke tanah Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat berkata kerajaan akan menyalurkan sumbangan kepada keluarga terbabit.

Calon Pakatan Harapan bagi PRK Port Dickson mengucapkan takziah kepada Othman Surathi yang merupakan seorang daripada anggota bomba yang terkorban semasa operasi menyelamat semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018.

“Saya ucap takziah kepada keluarga mangsa dan saya percaya jika Azizah (Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail) datang dia akan jumpa juga keluarga memberi sedikit sebanyak penjelasan.

“Mereka (anggota bomba) ini berkhidmat dan sumbangan kepada negara tidak boleh dilupakan dan kebajikan keluarga harus diutamakan.

“Setakat apa yang dimaklumkan oleh pengarah Bomba tadi mereka ini patuh kepada peraturan tetapi ini tidak boleh mengawal keadaan yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita.

Anwar turut menemui isteri serta dua orang anak allahyarham Adnan yang kelihatan sugul.

Adnan merupakan salah seorang di antara enam penyelam jabatan bomba yang lemas ketika operasi menyelamat seorang remaja yang terjatuh dalam satu lombong di Puchong malam tadi.

Lima lagi yang terkorban adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Penyelam berkenaan maut apabila dibawa arus deras ketika menyelam secara berangkai dalam operasi berkenaan. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen