Saiful Bukhari kutip RM1,500 untuk kempen lawan Anwar


Salhan K. Ahmad

Saiful Bukhari berjaya mengumpul RM1,000 hasil sumbangan orang ramai untuk kempen PRK Port Dickson melawan orang yang pernah dituduhnya melakukan serangan seksual kepadanya, Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

SELEPAS tiga hari merayu sumbangan, Saiful Bukhari Azlan berjaya mengumpul RM1,565 setakat petang ini untuk kempen menentang bekas majikan, Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Kalangan penderma menyumbang serendah RM10 kepada calon bebas tersebut yang mendakwa tidak menerima tajaan mana-mana pihak untuk bertanding.

“Ini semua mengenai rakyat yang mahu melabur dalam melakukan perubahan politik di Malaysia kerana orang kecewa dengan parti politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ia merupakan jumlah yang terkumpul sehingga malam tadi.

Ketika melancarkan tabung itu pada hari Selasa lalu, Saiful berkata wang berkenaan akan digunakan untuk mencetak poster, bendera dan bahan lain untuk kempen beliau.

Tindakannya bertanding menentang Anwar itu menerima kritikan meluas kerana beliau diketahui mesra dengan pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Beliau mencetus kontroversi pada 2008 apabila mendakwa diliwat oleh Anwar, yang menyebabkan ketua umum PKR itu diheret ke mahkamah dan dipenjara selama lima tahun.

Selepas itu, Saiful Bukhari dan isterinya Nik Suryani Megat Deraman mengusahakan perniagaan pakaian dan firma perunding media itu sering hadir ke perhimpunan agung Umno.

Pada 14 Disember lalu, beliau muncul semula di persada politik dengan melancarkan serangan ke atas Dr Mahathir Mohamad yang berkempen menentang perdana menteri waktu itu, Najib Razak.

Pada waktu itu, beliau menyatakan kekecewaan kerana Dr Mahathir mempolitikkan kes liwat tersebut yang telahpun diputuskan oleh makhamah.

Kempen beliau untuk PRK Port Dickson kini digerakkan oleh jentera seramai 12 orang yang turut terdiri daripada ahli keluarga dan kakitangan firmanya.

Anwar Ibrahim berdepan cabaran sengit pertandingan banyak penjuru di Port Dickson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018.

Saiful, 33, mendakwa beliau tidak bertanding untuk membalas dendam ke atas Anwar tetapi untuk menyekat bekas majikannya itu daripada menjadi perdana menteri.

Dakwanya, Anwar tidak wajar memimpin negara kerana “seorang pengurus yang teruk” dan “hanya pandai bercakap”.

Anwar juga mementingkan diri sendiri kerana menggadai kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei di Port Dickson demi memenuhi impian menjadi perdana menteri, dakwanya.

Turut bertanding bebas menentang Anwar adalah tokoh Umno tempatan, Isa Samad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan juga bekas pengerusi Felda.

PAS pula meletakkan veteran tentera udara Nazari Mokhtar, manakala tiga lagi calon bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi pengundi berdaftar, terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina dan 22% India. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen