Putrajaya tidak peduli kebajikan kanak-kanak, kata ahli parlimen pembangkang


Diyana Ibrahim

PUTRAJAYA membelakangkan hak kepentingan kanak-kanak yang terlibat dalam masalah isu agama apabila mengeluarkan Klausa 88A Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164), kata ahli Parlimen pembangkang.

Klausa 88A yang menyatakan agama anak bawah 18 tahun kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said dalam kenyataannya sebelum ini mempertahankan keputusan Putrajaya dan berkata keputusan itu bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan negara yang berbilang bangsa dan agama.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan Putrajaya itu seolah tunduk kepada tekanan daripada badan agama yang menyebabkan klausa itu ditarik balik pada saat akhir.

“Tanpa membahaskan akta ini dengan klausa tersebut sepenuhnya di Parlimen, seolah-olah Putrajaya memberitahu kepada rakyat terutama orang bukan Islam mereka tidak kisah dengan kebajikan kanak-kanak.

“Apa yang saya kisah ialah apabila salah seorang mereka, ibu bapa adalah Islam maka anak pun perlu ikut juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malah katanya, tindakan itu bertentangan dengan nilai Islam yang berlandaskan belas kasihan, keadilan dan memberi kebaikan kepada kanak-kanak.

“Memang nilai keluarga Islam menjamin kasih sayang dan hormat pada ibu bapa.

“Apabila mereka buat begini, kerajaan bukan sahaja gagal mencapai matlamat utama dalam perkahwinan bahkan menghancurkannya,” katanya.

Sementara itu ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, majoriti ahli Parlimen tidak bersetuju apabila Klausa 88A itu dibuang daripada akta tersebut.

“Apa yang penting adalah keputusan Kabinet pada 2009 dan sekarang apabila 2017 anda katapindaan Akta 164 ini akan dibentangkan tanpa klausa pokoknya,” katanya.

Wakil rakyat DAP itu berkata ia hanya akan menyaksikan kes perebutan anak seperti Indira Gandhi berulang tanpa adanya pindaan atau penambahbaikan ke atas undang-undang tersebut.

“Sama ada Islam atau bukan itu bukan isunya, hakikatnya undang-undang negara kita dicabuli, prosesnya diganggu sesetengah orang ini dan menjadikan ia sebagai isu agama,” katanya.

Kasthuri berkata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali juga tidak bersungguh meluluskan akta dengan klausa itu.

Tambahnya  tiada sebarang kebaikan dalam rang undang-undang tersebut tanpa pindaan Klausa 88A yang menjadi teras kepada akta itu.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, insitusi kekeluargaan dalam Islam menekankan tentang kebajikan kanak-kanak.

Katanya dalam agama sendiri menyebut penjagaan kanak-kanak seawal usia mereka patut diletakkan kepada ibu mereka.

“Ia disebut Hadanah. Dalam Islam pun ibu diberi hak untuk penjagaan anaknya,” katanya dan tidak menolak tindakan Putrajaya hanya bermotifkan politik. – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen