MB Selangor arah lombong ragut nyawa bomba ditutup


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018

MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa tempatan menutup lombong yang mengorbankan enam anggota bomba semasa operasi mencari mangsa lemas dekat Puchong malam tadi.

Katanya, ini bukan pertama kali kejadian seumpamanya berlaku di lombong berkenaan, yang terletak di Taman Putra Perdana.

“Saya akan arahkan secepat mungkin kepada MPS (Majlis Perbandaran Sepang) untuk tingkatkan kawalan keselamatan dan jika ada keperluan, tutup laluan serta jambatan yang menjadi punca nahas ini untuk menghalang orang ramai masuk.

“Daripada makluman, jeti yang ada (di lombong itu) sedang dinaik taraf untuk kawasan tadahan air, bukan untuk aktiviti memancing atau rekreasi yang lain,” katanya kepada wartawan di Shah Alam, hari ini.

Beliau ditemui ketika melawat waris mangsa anggota bomba yang terkorban di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam. Enam jenazah anggota bomba berkenaan sebelum itu disembahyangkan di balai tersebut sebelum dibawa pulang untuk disempurnakan di kampung halaman masing-masing.

Awal hari ini, Mohd Azzam Naim, bapa kepada remaja yang hilang yang sedang dicari pasukan menyelamat berkata kawasan lombong itu memang tidak berpagar dan menjadi tempat penduduk termasuk warga asing mencari ikan.

Katanya, dua bulan lepas pun ada dua lelaki dilaporkan lemas di lombong itu.

Sementara itu, Amirudin mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada setiap keluarga anggota bomba terlibat bagi meringankan beban mereka. Bantuan akan disalurkan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES), tambahnya.

Semalam, enam pegawai bomba daripada Pasukan Penyelamat Di Air maut akibat lemas di dalam lombong itu ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang tergelincir semasa memancing bersama dua rakannya.

Akibat persekitaran yang terlalu mencabar, salah seorang anggota bomba tergelincir hingga menarik lima anggota yang lain, yang berpaut pada tali.

Empat mangsa dari  Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – 4 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen