Ahli Parlimen pembangkang hantar usul berkenaan Klausa 88A


Diyana Ibrahim

AHLI  Parlimen pembangkang menghantar usul tambahan untuk memasukkan semula Klausa 88A Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164), klausa yang sama digugurkan Putrajaya semalam.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata beliau akan berusaha memasukkan semula klausa itu dalam minggu ini pada bacaan kedua rang undang-undang tersebut.

“Permohonan saya untuk memajukan usul itu adalah selaras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (57). Mana-mana ahli Parlimen berhak untuk mengusulkannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menarik semula Klausa 88A yang menyatakan agama anak bawah 18 tahun kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Kulasegaran berkata, tindakan tu seolah-olah kerajaan tunduk dengan pihak berkuasa agama hingga mengetepikan kepentingan dan kebajikan kanak-kanak.

“Kita tidak berubah tapi Barisan Nasional yang berubah. Mereka didesak, kenapa sekarang ini mereka tarik balik klausa itu pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau turut mencabar ahli parlimen BN bukan Islam untuk bersama dengannya ketika pembentangan akta tersebut.

“Dalam konteks ini saya menggesa, pemimpin BN yang selama ini juga mahukan klausa tersebut.

“Pemimpin MIC, pemimpin MCA, ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang sebelum ini jelas dengan pendirian mereka,  saya mahu mereka berani untuk bersama ketika membangkitkan isu ini esok,” katanya.

Kulasegaran berkata, sebagai peguam yang banyak menangani kes penceraian, dia menyaksikan terlalu banyak kes membabitkan agama anak kerana penceraian.

“Seperti Indira Gandhi, dia mahu ke Parlimen esok, perkara ini amat tidak adil kepadanya. Dua anaknya yang terbabit tidak tahu status agama sama ada Islam atau Hindu, undang-undang itu tidak jelas,” katanya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said menarik balik Akta 164 dan mengumumkan Putrajaya akan membentang pindaan rang undang-undang baharu tanpa klausa 88A.

Klausa 88A menyatakan agama anak terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.  – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen