ALIRAN air terlalu deras dipercayai punca enam anggota bomba daripada Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemui ajal ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang lemas di lombong tinggal dekat Puchong, Selangor malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohamad Hamdan Wahid berkata operasi mencari dan menyelamat itu sudah mematuhi semua prosedur pengendalian operasi tetapi berakhir tragedi kerana keadaan persekitaran yang terlalu mencabar.
Air di lombong itu tidak dalam tetapi limpahannya yang kuat menyebabkan seorang anggota bomba tergelincir, menarik lima anggota lain yang semuanya berpaut pada tali, katanya.
“Air tidak dalam tetapi kederasan kuat daripada limpahan air apabila hujan turun pada waktu petang.
“Proses menyelamat dilakukan di satu kawasan terjunan air, dan di situ berlaku penolakan (air) kuat hingga salah seorang anggota tergelincir bersama pegawai lain kerana mereka bertaut pada tali,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sembahyang jenazah ke atas enam anggota bomba berkenaan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pagi tadi.
Semua jenazah itu tiba di balai berkenaan kira-kira pukul 8.40 pagi dari Hospital Serdang.

Dalam ucapannya sebelum itu, Hamdan berkata tragedi semalam sangat dirasai oleh semua anggota bomba dan penyelamat. Beliau turut merakamkan penghargaan di atas khidmat bakti mereka sepanjang perkhidmatan.
Semua jenazah kemudian dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk urusan pengkebumian yang dikendalikan oleh jabatan bomba negeri.
Dua mangsa adalah masing-masing berasal daripada Sabah dan Sarawak, dua daripada Kelantan, seorang daripada Kelantan dan seorang daripada Pahang.
Kejadian bermula apabila pihak bomba menerima panggilan kecemasan yang mengatakan seorang remaja lemas di kawasan tasik di Puchong pada jam 5:19 petang.
Pada awalnya, anggota bomba daripada Balai JBPM Cyberjaya telah pun sampai dan mereka telah meminta bantuan daripada pasukan keselamatan air.
Berikutan hal itu, empat pegawai bomba daripada Pelabuhan Klang dan dua daripada Shah Alam hadir untuk meneruskan operasi mencari dan manyelamat.
Anggota daripada unit PPDA itu turun ke lombong pada jam 9.15 malam Rabu dalam keadaan hujan renyai bagi menyelamatkan seorang remaja lelaki,17 tahun, yang tergelincir ke dalam lombong tersebut ketika memancing bersama dua rakannya.
Empat mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – 4 Oktober, 2018.
Komen