Undi kaum India di PD berpecah antara Anwar, Isa 


Kamles Kumar

Sokongan kepada calon PKR Anwar Ibrahim dikuatkan dengan sentimen bakal perdana menteri di Port Dickson memberi kelebihan kepada pemimpin itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2018

PILIHAN raya kecil Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh calon, namun bagi kaum India yang terdiri daripada 22% jumlah pengundi, ia akan menjadi pilihan antara bakal presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad.

The Malaysian Insight mendapati, sentimen dalam kalangan masyarakat India akan terpecah, dengan sokongan kepada Anwar dari kawasan bandar, manakala mereka di kawasan luar bandar lebih memihak kepada Isa.

Kebanyakan mereka menyatakan mereka tidak banyak tahu tentang calon PAS dan calon bebas yang lain.

Shantru Balakrishnan berkata, Anwar merupakan pilihan yang jelas memandangkan beliau akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Namun pengundi berusia 42 tahun itu juga percaya Isa mempunyai sokongan yang kuat.

“Sudah pasti Anwar akan menang, tetapi terdapat juga sokongan kepada Isa. Beliau banyak membantu masyarakat India,” katanya yang juga eksekutif sumber manusia kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, sokongan terhadap Isa kuat di kawasan estet yang mana bekas ahli Umno itu, yang pernah menjadi menteri besar selama 22 tahun, menyediakan banyak bantuan ketika berkuasa.

“Isa adalah orang lama. Banyak yang beliau lakukan kepada masyarakat ketika menjadi menteri besar,” kata seorang lagi pengundi, K Sachi, yang menguruskan sebuah badan bukan kerajaan dan tinggal di Port Dickson.

Pekerja estet K. Raja, yang memihak kepada Isa berkata, beliau tidak percaya dakwaan rasuah terhadap bekas pengerusi Felda itu tetapi mempersoalkan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen.

“Umumnya masyarakat India, apabila keluar penjara, mereka tiada pekerjaan. Mereka mahu bertaubat dan bekerja dengan baik.

“Tetapi, mereka tidak berikan pekerjaan kepada masyarakat India yang melakukan jenayah, namun Anwar, yang turut melakukan jenayah, akan jadi perdana menteri,” kata Raja.

Anwar dipenjara atas sabitan meliwat Saiful Bukhari Azlan, yang juga calon pada pilihan raya kecil PD, pada 2008. Beliau dibebaskan pada Mei tahun ini selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong susulan kemenangan Pakatan Harapan pada Piihan Raya Umum ke 14. 

Pekan koboi yang berpotensi

Pemilik perniagaan di bandar pesisir pantai itu berkata, walaupun Isa sudah banyak memajukan ekonomi setempat, undi mereka akan pergi kepada Anwar kerana beliau mampu meningkatkan taraf hidup, kemudahan dan pekerjaan apabila menjadi perdana menteri.

“Ini merupakan peluang yang baik untuk Port Dickson. Saya harap perniagaan di sini akan maju,” kata pemilik restoran R Shahshikumaran.

Sementara itu, seorang pemandu teksi Sukhdave Singh berkata selain mewujudkan peluang pekerjaan, Port Dickson perlu lebih hidup pada waktu malam.

“Selepas jam 7 malam, ini merupakan pekan koboi. Ia memiliki pantai yang cantik namun kurang aktiviti. Kita perlukan aktiviti pelancongan. Bandar ini perlu dimajukan untuk pelancongan,” katanya.

Bagaimanapun, rata-rata pengundi masyarakat India yang ditemui bersetuju dengan satu perkara  – bandar ini sangat memerlukan kuil Hindu dan dewan untuk mengadakan upacara keagamaan mereka.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad masih mempunyai sokongan yang kuat di kawasan Parlimen itu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018

“Tiada dewan perkahwinan mahupun krematorium,” kata pekerja estet, Raja.

Untuk pembakaran mayat, penganut Hindu perlu memandu sejauh 30 kilometer ke Seremban.

Kuil Sri Maha Mariamman di tengah-tengah bandar Port Dickson masih belum siap selepas lapan tahun menjalani proses baik pulih dan ia menyakitkan mata masyarakt di situ.

Kuil itu termasuk dengan bangunan krematorium, namun projek berkenaan terbengkalai selepas hanya siap 70% berikutan kekurangan dana.

Tinjauan The Malaysian Insight di kedua-dua bangunan kuil dan krematorium itu mendapati projek berkenaan terbengkalai sejak lebih setengah tahun.

Penganut agama itu kini bersembahyang di sebuah bangsal sementara yang dibina bersebelahan tapak pembinaan, yang terletak berhampiran pejabat daerah Port Dickson di mana keputusan pilihan raya akan diumumkan pada 13 Oktober.

Sebahagian daripada krematorium di Linggi dilihat terbiar dan semakin reput. Peralatan pembinaan turut ditinggalkan.

Presiden kuil berkenaan V. Pannirselvam berkata masalah itu bermula apabila kedua-dua projek berkenaan dijalankan melebihi bajet yang mereka anggarkan. 

Kuil itu kini memerlukan RM2.5 juta untuk disiapkan, katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata kuil itu telah dibubarkan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana projek baik pulih yang tertangguh.

“Kami kini sedang membuat rayuan kepada ROS, kami harap akan dapat dana untuk menyelesaikan pembinaan kuil dan krematorium,” kata Pannirselvam, 52.

Sekiranya mereka mendapat dana mencukupi, sebuah dewan juga akan dibina pada kuil berkenaan. 

Kempen Anwar

Untuk mendapat sokongan masyarakat India, Anwar mempunyai bantuan dua pemimpin masyarakat itu untuk membantunya.

Mereka adalah bekas ahli MIC S Sothinathan dan bekas ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi untuk memberi lauan kepada Anwar.

“Fokus saya adalah untuk masyarakat India dari estet seperti Tanah Merah,” kata Danyal kepada The Malaysian Insight.

Bekas ahli Parlimen Telok Kemang yang juga bekas ahli MIC S Sothinathan turut membantu Anwar dalam kempennya pada PRK PD.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2018

Sothinathan yang merupakan bekas ahli Parlimen Teluk Kemang berkata, beliau percaya majoriti masyarakat India akan mengundi Anwar kerana mereka mahu perdana menteri seterusnya dari Port Dickson.

“Calon bakal perdana menteri adalah dari Port Dickson. Kebanyakan maklum balas daripada pengundi Melayu dan Cina juga baik,” katanya.

Port Dickson terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina di kerusi Parlimen yang mempunyai 75,212 pengundi berdaftar.

Selain Anwar, Isa dan Saiful, calon lain yang bertanding adalah Nazari Mokhtar dari PAS dan tiga calon bebas lain. – 5 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen