TEMPOH lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Raus Sharif bakal jadi ikutan dalam melantik hakim tambahan dan ketua hakim lain, kata bekas presiden Majlis Peguam Christopher Leong.
Leong berkata Raus yang memulakan di mana bekas ketua hakim boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan sedemikian, yang akan merampas dan menceroboh fungsi perlembagaan ketua hakim pada masa akan datang.
Raus mengangkat sumpah sebagai ketua hakim Jumaat lalu walaupun melepasi tempoh bersara wajib 66 tahun enam bulan, di mana kumpulan peguam termasuk Majlis Peguam menyatakan ia tidak berperlembagaan dan akan mencabarnya.
“Saya berkongsi pendapat yang sama,” kata Leong kepada The Malaysian Insight.
Leong berkata Perlembagaan tidak memperuntukkan ketua hakim boleh memberi nasihat di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan untuk pelantikan hakim tambahan berkuatkuasa selepas tamat tempoh ketua hakim itu.
“Fungsi dan tanggungjawab itu adalah untuk ketua hakim amalkan selepas mengambil kira keperluan hakim tambahan bagi tujuan memenuhi syarat, persyaratan dan kekosongan dalam tempohnya.
“Ia tidak memperuntukkan atau membayangkan ketua hakim akan atau mungkin menilai keperluan atau keperluan selepas tempoh perkhidmatannya, ini perlu untuk ketua hakim yang masih berkhidmat,” kata Leong.
Tempoh perkhidmatan Raus dilanjutkan kepada tiga tahun dan namanya dicadangkan bekas ketua hakim Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum persaraannya pada 31 Mac.
Pengumuman lanjutan itu dibuat Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai.
Leong menyatakan cadangan Arifin itu bertujuan untuk dikuatkuasakan walaupun selepas tamat tempoh khidmat penggantinya.
Leeong berkata secara prinsipnya ketua hakim boleh memberi nasihat untuk pelantikan hakim tambahan, dan nasihat itu hendaklah diambil tindakan dan berkuatkuasa dalam tempoh perkhidmatan ketua hakim.
“Peruntukan ini secara teori boleh digunakan ketua hakim untuk menasihati pelantikan hakim tambahan untuk berlaku dalam masa yang berturut-turut untuk tempoh perkhidmatan dua, tiga, empat, lima atau lebih ketua hakim.
“Ia bukan hanya memberi kesan terhadap Mahkamah Persekutuan dengan hakim tambahan tetapi turut memberi kesan terhdap fungsi Perlembagaan ketua hakim di masa akan datang,” kata Leong.
Raus diletakkan di pejabat kehakiman selepas dilantik sebagai hakim tambahan pada 17 Julai lalu, kononnya berdasarkan Artikel 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bukan tujuan dan niat Artikel 122 (1A),” kata Leong.
“Oleh itu, ia bukanlah tafsiran yang menggambarkan peruntukan Perlembagaan tersebut. Ini adalah tafsiran dan pembinaan Perlembagaan yang bersifat logik dan sengaja, serta selaras dengan Artikel 122 (1) dan 122B,” katanya.
Perkara 122 (1) memperuntukkan Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi dan empat hakim tambahan lain.
Perkara 122 (1A) membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan untuk melantik hakim tambahan.
Perkara 122B memperuntukkan pelantikan dibuat Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri.
Apabila Arifin bersara, Raus dilantik sebagai Ketua Hakim pada 1 April. Tempohnya dilanjutkan pada hari Jumaat, sehari setelah dia mencapai tempoh bersara wajib.
Leong menyatakan bahawa nasihat Arifin itu berlaku selepas Raus tamat tempoh perkhidmatan.
“Sekali lagi, ini tidak dibayangkan Perlembagaan. Pada dasarnya nasihat ketua hakim yang bersara dapat dilakukan dalam enam bulan, setahun, dua tahun atau lebih setelah persaraan ketua hakim, atau semasa tempoh perhidmatan ketua hakim pengganti.
“Nasihat sedemikian akan menjadi nasihat yang tidak baik,” kata Leong, dengan mengatakan ia adalah peranan ketua hakim, bukan penggantinya, untuk menilai keperluan hakim tambahan.
Raus memberitahu pemberita pada hari Sabtu bahawa pelanjutan tempoh khidmatnya memang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia berperlembagaan. – 8 Ogos, 2017.
Komen