Super liberal lawan super Islamis


Mohd Syazreen Abdullah

DEMOKRASI boleh menjadi paradoks.  

Demokrasi mengiktiraf nilai keberagaman, bukan mengurangkannya. Juga tidak mengehad nilai kebebasan. Justeru, kegagalan menghayati semangat demokrasi boleh menimbulkan ketegangan tanpa henti dan membebankan kelompok minoriti – Syiah, LGBT, liberal yang kerap kali dihentam, difatwa “sesat”.

Serangan seumpama itu memaksa kelompok minoriti bangkit bersuara menuntut hak supaya mereka lebih dihormati dan dilindungi setelah sekian lama kunci kebebasan karat di tangan regim lama. Mereka tanpa henti lantang menyuarakan keadilan dan menuntut kebebasan. Kadangkala, nadanya kedengaran seperti mendesak-desak.

Barangkali menyedari fenomena itu, Anwar Ibrahim memberi amaran tentang kewujudan “super liberal” di negara ini, tanpa merujuk spesifik kepada mana-mana pihak. Mereka seakan-akan memaksa supaya tuntutan mereka dipenuhi, katanya.

“Perkahwinan sesama jenis, contohnya, tidak boleh dibenarkan di Malaysia,” kata ketua umum PKR itu.

Menjadi seorang Anwar, kenyataan sebegitu bukanlah asing. Bahkan sikap Anwar dapat diduga. Apatah lagi beliau – bakal perdana menteri – tentu mahu mengaut undi golongan konservatif Melayu Islam. 

Begitulah tabiat sosok pujaan anak muda Islamis beridolakan Erdogan.

Berbalik kepada “super liberal”, suara desakan tidak akan berbunyi sekiranya hak dan kebebasan mereka selama ini tidak dicabuli. Lebih-lebih lagi mereka jelak dengan sikap pura-pura Islamis yang bersilat di pentas demokrasi, memenggal suara-suara yang bertentangan dengan selera Islam mereka.  

Sepatutnya, majoriti wajib melindungi kelompok minoriti. Maka, tidak akan muncul “super liberal” jika tiada penentangan “super Islamis” – membataskan agama dengan fatwa keagamaan yang ketat mengikat.

Contohnya, mereka menggunakan ruang demokrasi untuk rakyat memilih agama yang dibentuk oleh satu-satunya aliran. Salah satu ajakan mereka ialah menentang Syiah dan Sister in Islam (SIS). Alasan? Konon mereka menyimpang dari “Islam yang sebenar”.

Malah, Jabatan Agama Islam Selangor terpaksa menyediakan khutbah khas untuk cuba menfatwa pengharaman gerakan seperti SIS dan fahaman liberal. Ini satu tindakan keras terhadap kelompok minoriti sehingga serangan dibuat secara terbuka. Dakwaan itu menyalakan lagi api permusuhan antara umat beragama. Sebaliknya pesan universal Islam supaya tunduk kepada Tuhan, supaya hidup damai dan aman dikesampingkan.

Sayang sekali, pesan sepenting itu dilupakan. Sedangkan Quran mengajar kita untuk saling menghargai nilai-nilai kemanusiaan dengan semangat keterbukaan.

Tolak super Islamis

Sarjana hak asasi Islam Abdullahi An-Naim berkata, ketika fundamentalisme dan konservatisme terus meningkat dan menguasai wacana ruang awam dan negara, kelompok liberal mahu wacana agama diletakkan ke ranah peribadi (An-Naim, 2005: 37).

Maknanya, tindak-tanduk kelompok liberal bertitik tolak dari sikap dan penolakan kelompok Islamis yang melanggar hak kebebasan.

Namun, kelompok semacam itu masih harus dijamin ruang untuk mengekspresikan pandangan mereka. Soalnya apakah demokrasi harus memaksa seseorang mengubah pandangan teologi mereka?

Persoalan itu digarap dengan baik oleh profesor emeritus Universiti Gottingen, Bassam Tibi melalui karyanya Islamism and Islam. Perdebatan Islamisme dan demokrasi telah ditulis pada tahun 2008 dalam Journal of democracy melalui esei Why they can’t be democtatic. Beliau menyatakan beberapa pandangan seperti Marc Lynch yang menyebut jika ada keraguan terhadap komitmen Islamis tentang demokrasi, maka ia berisiko untuk dituduh melakukan penghinaan serius terhadap iman dan identiti muslim.

Bassam Tibi juga menegaskan Islamisme dan Islam adalah dua hal berbeza. Malangnya, kelompok Islamis gemar mencampur aduk hukum-hukum bersifat keagamaan dan mensakralkannya di ruang demokrasi. Ini boleh mengelirukan orang awam kerana mereka mudah mentafsirkan – itulah Islam.

Maka terjadilah sengketa konflik sosial, bukanlah soal iman tetapi politik yang diagamakan. Tafsiran tersebut biasanya terjadi dari kelompok Islamis yang berpencak di pentas ruang awam dan demokrasi. Menanamkan semangat mendaulatkan firman Tuhan di ruang demokrasi tidak mungkin terjadi melainkan dengan semangat autoritarian dan sikap diktator atas nama agama. Justeru, ruang iman dan demokrasi hal yang harus dibezakan.

Memilih pendekatan berperlembagaan, kelompok Islamis tanpa segan silu memacak semangat tafsiran Islam terhadap proses demokrasi. Maka, kejujuran kelompok Islamis yang memberi dukungan kepada demokrasi harus dipersoal – sejarah kediktatorian Islamis tidak pernah memberi harapan.

Jelas, seperti kata Bassam Tibi lagi, kelompok tersebut berpatisipasi dalam kerja-kerja perundangan dan demokrasi tetapi mempromosi nilai-nilai bertentangan dengan kebebasan.

Sungguh kontradik!

Kelompok ini sekadar menunggang demokrasi. Hakikatnya, mereka mahu semua orang mengikut acuan mereka, lebih-lebih lagi dalam soal beragama – hukum Tuhan mesti ditegakkan di ranah demokrasi tanpa memikirkan pertembungan moral yang terjadi ke atasnya.

Ironinya, gerakan Islam moderat mengimpikan sebuah hukum Islam progresif dibangunkan di atas gerakan prodemokrasi. Malangnya, ideologi politik Islamisme tidak berpotensi baik di atas nilai-nilai demokrasi liberal mahupun pluralisme pembahagian kuasa. Kerana perhatian utama politik Islamisme adalah nizam Islami – mengurus tadbir sistem Islam untuk menguasai segala-galanya.

Maka, Islamis moderat adalah sebuah dongeng dan khayalan sahaja. Hakikatnya keterikatan kelompok Islamis tidak mampu memecahkan tembok kebebasan yang mereka imani dalam ruang demokrasi. Buktinya, jika kita memandang politik dunia Arab, usaha mengangkat nilai-nilai Islam dalam rencam demokrasi akhirnya mengundang anasir kediktaktoran.

Sebagaimana disebut, antara masalah terbesar peradaban Islam di Timur Tengah adalah lemahnya demokrasi dan hak asasi manusia dalam mengangkat ketinggian nilai individu. Jelas, meletakkan agenda Islam dalam ruang demokrasi bakal merosakkan tafsiran Islam kerana ia dipolitisasikan.

Hal ini disebut oleh aktivis hak asasi Mesir, Saad Eddin Ibrahim, “kita berputar antara penguasa autokrat dan teokrat yang menentang mereka, kesannya islamisme bukanlah altenatif yang diperlukan untuk rejim autoriter dan despotik.”

Jelas, hujah utama ideologi Islamis adalah Allah, bukan manusia yang berhak memerintah dunia. Jadi, bagaimanakan demokrasi dapat tumbuh dari komitmen terhadap syariatisasi politik?

Dua Islamis satu wajah

Sebenarnya, ciri-ciri yang ada pada gerakan Islam tidak ubah nilai yang ada pada jihadis ala IS.  “Two sides of the same coin” – masing-masing berebut-rebut meninggikan wacana hukum Tuhan.

Bezanya, Islamis kelompok prodemokrasi memilih jalan damai yang tidak menggunakan kekerasan fizikal seperti kelompok jihadis. Pendekatan berbeza tetapi tetap ada persamaan agenda politiknya. Mereka berkongsi visi yang sama – tatanan syariah atau menguasai sistem Islam di muka bumi.

Namun, muslim yang memilih jalan spiritual tetapi tidak menganut agenda tersebut tidak pula digelar Islamis. Sedangkan ada gerakan keagamaan yang tidak menumpukan soal kedaulatan hukum Tuhan tetapi mengangkat nilai sivil di dalam ruang awam. Hal ini jarang terjadi sebaliknya yang terjadi adalah mustahil gerakan Islamis tanpa meninggalkan agenda Islam.

Apakah hukum yang dianggap sakral boleh digadai mengikuti selera demokrasi?

Politik pengagamaan atau agamasasi yang dibawa oleh kelompok Islamis tidak akan meninggalkan ruang untuk tawar menawar. Bagi mereka, mustahil hal agama yang dipandang suci boleh tawar menawar. Menurut mereka, demokrasi yang seharusnya mengikut acuan agama; bukanlah sebaliknya. Itu dianggap menodai kesakralan hukum Tuhan.

Pasti tidak boleh. Pluralisme, keragaman, liberal merupakan unsur yang bertentangan dengan tafsiran agama di mata mereka. Nilai tersebut tidak dapat disatukan walau dalam ruang sosial tetapi mustahil dalam ruang keimanan. Sudah pasti Islamis akan mencampur aduk nilai keimanan ke dalam ruang demokrasi. Maka timbul akhirnya pertentangan moral. Itulah masalah kelompok Islamis.

Jelas Islamis dari ranah mana sekalipun yang berpatisipasi dalam ruang demokrasi tidak akan benar-benar menjadi demokrat. Mereka harus menghapuskan slogan Islam terlebih dahulu sebelum berpencak di pentas kepelbagaian, rencam ideologi dan majmuk budaya.

Slogan demokrat yang dibangun oleh semua kelompok dakwah hanya ilusi tanpa mereka sedari. Sikap mereka, tidak sesekali menerima perkara yang tidak selari dengan agenda Islam. Menukar baju, warna bendera tidak sesekali menutupi keislaman esksklusif yang melekat di dalam diri Islamis.

Sekilas, pengalaman Turki dan AKP mengkhuatirkan. Melahirkan Islamisasi dengan mengorbankan pluralisme demokratis – parti yang berpura-pura dan tidak toleran terhadap sekularis dan etnis dan agama minoroti seperti Kurdi, Alawi. Akhirnya perkembangan politik inklusif Turki melahirkan kekuasaan berwatak eksklusif.

Demokrasi bukanlah sekadar sistem, lebih daripada itu ia merupakan nilai kemanusiaan yang mengangkat kemuliaan insani, memberi kebebasan, menghormati dan melindungi minoriti. Demokrasi juga tidak memaksa dan menggalakkan budaya saling hormat. Fleksibeliti demokrasi inilah yang membawa rahmat kepada umat manusia. Setiap orang berhak menikmati hak mereka.

Maka, “super liberal” tidak mungkin muncul tanpa desakan konservatif super Islamis. Justeru, saya kekal sangsi terhadap kejujuran kelompok Islamis yang mengidolakan Erdogan, juga temannya perdana menteri menanti. – 4 Oktober, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen