Sabah haramkan ajaran liberalisme dan pluralisme sesat


Jason Santos

Pengikut Hizbut Tahrir mengadaakan bantahan di Indonesia. Hizbut Tahrir merupakan antara ajaran yang diharamkan di Sabah. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2017.

SABAH mengharamkan liberalisme dan pluralisme kerana sesat, dan menyenaraikannya dalam 16 ajaran yang bertentangan dengan Islam.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Mohd Ariffin Arif berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama negeri mengharamkan 16 ajaran kerana bertentangan dengan Sunnah Wal Jamaah, yang diiktiraf dan dibenarkan di Malaysia.

Ariffin berkata kumpulan Qadiani dan Hizbut Tahrir turut dipantau kerana dikesan aktif di negeri itu.

“Kumpulan Qadiani kini bergerak dalam kumpulan kecil di Sandakan, Beaufort, Kota Marudu dan Kota Kinabalu, manakala Hizbut Tahrir dikesan di Sandakan.

“Aktivis mereka di bawah pemantauan ketat Jabatan Hal Ehwal Islam negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri, dan agensi berkaitan lain untuk menghalang mereka menyebarkan ajaran mereka,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik Abdul Muis Picho di sidang DUN hari ini.

 Abdul Muis mempersoalkan sama ada terdapat kewujudan gerakan ajaran sesat yang masih aktif di Sabah.

Selain Qadiani dan Hizbut Tahrir, antara ajaran lain yang diharamkan di Sabah adalah Al-Arqam, Millah Abraham, Syiah, Ta Tujuh, Tarikat Hasaniah, Tarikat Naqsyabandiah al Aliyah, Nasrul Haq, Zikir Hasan Rimau dan Awang Rezki.

Syiah merupakan ajaran yang menjadi amalan dan dibenarkan di Iran dengan populasi yang besar dalam dunia Arab.

Hizbut Tahrir merupakan gerakan Islam global yang meminta diwujudkan khalifah global. Kumpulan itu bagaimana pun turut menentang nilai barat seperti liberalisme dan pluralisme.

“Tahun ini Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Hal Ehwal Agama, polis dan agensi berkaitan lain menahan lapan pengikut ajaran Millah Abraham yang melarikan diri ke Sabah.

Ariffin berkata beberapa langkah proaktif diambil untuk menghalang penyebaran ajaran sesat, termasuk mengadakan ceramah dan mengedarkan risalah.  – 8 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen