Umum dana bukan untuk raih undi tentera, kata Mat Sabu


Yasmin Ramlan

Mohamad Sabu memberi Pingat Jasa Malaysia kepada salah seorang penerima dari Persatuan Veteran Tentera Batalion Ke 22 RAMD di Dewan Auditorium Muzium Tentera Port Dickson pada hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Oktober, 2018.

MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan peruntukan kemudahan berjumlah puluhan juta ringgit lagi untuk warga tentera dalam satu program bersama veteran pasukan itu petang ini.

Antara lain beliau mengumumkan sejumlah RM69.65 juta untuk kemudahan perubatan dan peralatan pesakit veteran Angkatan Tentera Malaysia untuk tahun ini.

Selain itu, sebanyak RM8.2 juta akan disediakan bagi bantuan pengurusan jenazah dan  RM500,000 akan diperuntukkan bagi pembiayaan bekas tentera, katanya.

Beliau mengumumkan demikian dalam kunjungan keduanya ke kem berkenaan, semenjak ketua umum PKR Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding kerusi Port Dickson.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berucap di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Persatuan Veteran Tentera Batalion ke-22 RAMD petang ini, yang turut dihadiri calon PH Anwar Ibrahim.

Dalam kunjungan minggu lalu, beliau mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membaiki rumah tentera di Port Dickson.

Ketika ditanya pemberita, Mohamad bagaimanapun menafikan bahawa pengumuman berkenaan merupakan alat raih undi untuk meraih undi bagi calon PH.

“Tak..itu saya (umum sebagai kapasiti) Menteri Pertahanan. Saya ada dalam kem (ketika itu), (jadi) saya umum,” katanya ketika ditemui pemberita. 

Jelasnya, beliau turut mengumumkan peruntukan dalam satu majlis di Kem Wardieburn di Titiwangsa sebelum pengumuman pada 21 September itu, katanya.

Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim turut hadir pada  Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Persatuan Veteran Tentera Batalion ke-22 RAMD di Muzium Tentera Port Dickson hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Oktober, 2018.

Anwar pada hari kedua kempen, Ahad lalu memberi jaminan tidak akan menggunakan pendekatan kerajaan terdahulu yang mengumumkan peruntukan dan projek semasa kempen pilihan raya bagi meraih sokongan.

Beliau muncul di program Mat Sabu hari ini ketika menteri pertahanan tersebut sedang menyampaikan pingat kepada veteran tentera.

Tindak tanduk menteri dan anggota kerajaan PH kali ini menjadi perhatian ekoran janji parti tersebut untuk tidak menyalahguna jentera kerajaan untuk berkempen.

Seramai 6,690 orang anggota tentera membentuk kira-kira 9 peratus daripada lebih 75,770 pengundi yang layak mengundi di kawasan Parlimen Port Dickson.

Kerusi Parlimen port Dickson mempunyai 43% pengundi Melayu, Cina (33%) dan India (22%). – 3 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen